Siakap Keli
Budak pelukis termuda dunia
Gambar: BBC

Karya Abstrak Luar Biasa, Budak Diiktiraf Pelukis Lelaki Termuda Dunia

Karya Abstrak Luar Biasa, Budak Diiktiraf Pelukis Lelaki Termuda Dunia

Seorang kanak-kanak berasal dari Ghana mencipta sejarah apabila diiktiraf secara rasmi sebagai pelukis lelaki termuda di dunia, lapor BBC.

Ace-Liam Nana Sam Ankrah yang memiliki bakat artistik semula jadi itu menggenggam rekod berkenaan pada usia setahun dan 152 hari.

Pengiktirafan berkenaan diterima pada Isnin lalu selepas menunggu hampir lima bulan untuk Rekod Dunia Guinness (GWR) mengesahkan percubaan tersebut.

Untuk membolehkan rekod berkenaan disahkan, GWR berkata Ace-Liam perlu menyertai pameran profesional yang dibuka kepada awam dan menjual hasil karyanya.

Malah, pameran yang dibuat dan karya yang dijual perlu melalui syarat-syarat yang ditetapkan selain perlu membuktikan lukisan-lukisan itu benar-benar dihasilkan kanak-kanak berkenaan.

Baru setahun 5 bulan, budak ini diiktiraf pelukis termuda di dunia

Bagi memenuhi syarat-syarat tersebut, hasil kerja Ace-Liam kemudian dipamerkan dalam satu pameran terbuka yang diadakan di Accra pada Disember tahun lepas.

Apa yang mengagumkan, Ace-Liam berjaya menjual 9 daripada 10 karyanya dalam pameran tersebut. Malah, lukisan-lukisannya turut menarik perhatian dan menerima pujian daripada Wanita Pertama Ghana, Rebecca Akufo-Addo.

BACA: Ini Kaedah Yang Lebih Cepat Nak “Check” Keputusan SPM 2023

Bakal menyambut ulang tahun kelahiran keduanya pada Julai ini, Ace-Liam secara keseluruhan sudah berjaya menjual sebanyak 15 lukisan. Dia juga bakal mengadakan acara jualan secara bidaan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, ibu kanak-kanak tersebut, Chantelle Kuukua Eghan yang juga seorang pelukis berkata, bakat Ace-Lima ditemui secara tidak sengaja.

Semuanya bermula pada 2023 ketika wanita itu sedang menyiapkan satu projek khas untuk pertandingan Miss Universe pada tahun tersebut.

Disebabkan sibuk dengan projek berkenaan, dia membiarkan Ace-Liam bermain di atas kanvas yang diletakkan bersama cat dan menyambung semula kerjanya.

Kuukua ternyata merasa amat terkejut ketika memeriksa kanvas berkenaan apabila mendapati Ace-Liam berjaya menghasilkan karya luar biasa semasa bermain dengan peralatan melukis tersebut.

Karya pertama Ace-Liam itu kemudian dinamakan sebagai The Crawl.

Menurut Kuukua, dia menggambarkan Ace-Liam sebagai seorang pelukis yang gemar bereksperimen dengan warna-warna yang cerah dan cat akrilik.

Buat masa ini, Kuukua berkata dia akan membimbing Ace-Liam untuk menjadi seorang pelukis yang berjaya suatu hari nanti.

Untuk memastikan bakat Ace-Liam tidak dipersia-siakan, Kuukua turut membina sebuah studio khas untuk anaknya berkarya.

BACA: Polis Buru Suspek Ragut Ibu Sedang Tunggang Motosikal Bawa Dua Anak

Sumber: BBC, GWR

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.