Siakap Keli
semakan spm 2023
Kredit: Bernama

Ini Kaedah Yang Lebih Cepat Nak “Check” Keputusan SPM 2023

Apabila bercakap tentang titik perubahan dalam kehidupan, semestinya ramai yang akan mengaitkan tentang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di mana fasa baharu untuk menempuh alam dewasa baru sahaja bermula.

Tidak dinafikan, calon-calon yang mengambil SPM pastinya akan berdebar menunggu keputusan dan kurang dari seminggu, para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM 2023 akan menerima keputusan pada 27 Mei 2024, seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Untuk makluman, calon boleh menyemak keputusan SPM melalui tiga kaedah, sama ada hadir ke sekolah, semakan secara dalam talian dan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Calon yang yang tidak dapat hadir ke sekolah dan tiada capaian internet di rumah untuk mengakses keputusan berkenaan boleh hadir ke mana-mana sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berhampiran. Ikuti perkongsian di bawah ini.

Cara semak keputusan SPM 2023

Semakan di sekolah

Kebiasaannya, calon akan menerima keputusan seawal jam 10 pagi ketika diumumkan oleh pihak sekolah di dewan yang terpilih.

Calon sekolah boleh memperoleh keputusan dengan menghadirkan diri ke sekolah dan bertemu dengan guru yang bertugas.

Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

Pun begitu, calon sekolah dan juga calon persendirian juga boleh membuat semakan secara dalam talian seawal jam 10 pagi.

Semakan Secara Dalam Talian

Cara-cara untuk menyemak adalah dengan melayari pautan myresultspm.moe.gov.my yang boleh diakses mulai pukul 10 pagi pada 27 Mei 2024 hingga pukul 6 petang pada 2 Jun 2024.

Sekiranya terlepas untuk mendapatkan keputusan di sekolah, calon boleh layari pautan tersebut dan peroleh slip keputusan SPM 2023.

Semakan SMS

Untuk lebih mudah, calon boleh juga menyemak ringkasan keputusan melalui SMS dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada 27 Mei hingga hingga pukul 6 petang pada 2 Jun 2024.

Antara ketiga-tiga kaedah ini, semakan secara dalam talian dan menggunakan SMS adalah lebih cepat dan mudah untuk semak keputusan berbanding menunggu keputusan diumumkan di sekolah.

Sekiranya calon mempunyai capaian internet dan baki yang mencukupi, semakan dalam talian dan menerusi SMS amatlah sesuai untuk digunakan.

Penyemakan Semula Keputusan SPM 2023

Bagi calon yang ingin melakukan semakan semula keputusan SPM 2023, permohonan adalah sepenuhnya secara dalam talian di pautan https://elp.moe.gov.my atau aplikasi e-Lembaga Peperiksaan.

Penyemakan semula keputusan peperiksaan akan dicaj RM100 bagi setiap mata pelajaran.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi layari laman web Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/

Nurhanis

noktah