Siakap Keli
faisal dibenar keluar hospital pemulihan masuk fasa baharu
Kredit: Bernama

Faisal Halim Dibenar Keluar Hospital, Proses Rawatan Dan Pemulihan Masuk Fasa Baharu

Faisal Halim Dibenar Keluar Hospital, Proses Rawatan Dan Pemulihan Masuk Fasa Baharu

SHAH ALAM, 25 Mei (Bernama) — Selangor FC hari ini mengesahkan pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden disimbah asid pada awal bulan ini.

Skuad Gergasi Merah dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar bertugas, pemulihan Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim daripada kecederaan serius dialami amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak.

Menurut kenyataan itu, Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan sekali gus meminta semua pihak memberi ruang untuk pemain tonggak jentera serangan Harimau Malaya itu melalui proses pemulihan sebaiknya.

BACA: Faisal Nyatakan Hasrat Nak Main Bola Semula – Shahril

“Pihak kelab ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pakar Unit Plastik & Rekonstruktif Dr. Wan Syazli Rodzaian Wan Ahmad Kamal, seluruh warga Avisena Specialist Hospital dan Thomson Hospital Kota Damansara yang sentiasa komited dalam memberi penjagaan komprehensif serta sumbangan besar kepada rawatan dan pemulihan Faisal Halim.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan juga kepada keluarga besar Selangor FC; pemimpin-pemimpin negeri dan negara; badan-badan kerajaan dan swasta; komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa serta seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan dan memberi dorongan semangat kepada ikon bola sepak negara kesayangan kita,” menurut kenyataan itu.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua baki perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

BACA JUGA: ICJ Arah Israel Hentikan Operasi Ketenteraan Di Rafah Dengan Kadar Segera

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story