Siakap Keli
air sungai taman bandar senawang
Sumber: Sinar Harian

Air Sungai Taman Bandar Senawang Bertukar Putih, Didakwa Keluarkan Bau Seperti Bahan Kimia

Air Sungai Taman Bandar Senawang Bertukar Putih, Didakwa Keluarkan Bau Seperti Bahan Kimia

Air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk D’Latania Taman Bandar Senawang disifatkan ‘putih seakan susu getah’, pada Ahad.

Keadaan ini disedari oleh penduduk sekitar jam 10 pagi, namun pada jam 3 petang, hasil tinjauan Sinar Harian mendapati warna putih berkenaan sudah tiada.

Bagaimanapun, sungai tersebut masih mengeluarkan bau yang kuat dan memeningkan kepala, seperti bau bahan kimia, lapor Sinar Harian.

Penduduk, Mohd Khir Johari, 43, berkata, biasanya air sungai di belakang rumahnya jernih, tetapi pagi itu airnya berubah menjadi putih seperti susu.

“Kira-kira jam 10 pagi tadi jiran saya maklumkan air di sungai itu berwarna putih, katanya mungkin ada pencemaran.

“Saya kemudiannya pergi tengok dan ternyata warna sungai itu putih seperti susu getah, tapi ia tak berbuih,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Mohd Khir, dia kemudiannya segera melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar melalui talian hotline.

Tidak lama selepas itu, beberapa pegawai dari agensi tersebut turun ke lokasi untuk menyiasat.

“Kami bimbang ia disebabkan pencemaran atau bahan yang kritikal, jadi berharap pihak berkuasa dapat menyiasat punca dan jenis bahan yang mencemari air ini,” katanya.

BACA: Tujuh Bayi Baru Lahir Maut Dalam Kebakaran Di Delhi

Dalam pada itu, Pengerusi KRT D’Latania Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmad berkata, kejadian seumpama ini pernah berlaku empat tahun lalu sehingga ada penduduk yang terpaksa menyewa hotel kerana tidak tahan dengan bau yang kuat.

Beliau mengesyaki kejadian ini berpunca daripada kilang berhampiran yang membuang sisa buangan ke dalam longkang yang kemudian mengalir ke sungai.

“Sebelum ini keadaan agak kritikal juga sehingga menyebabkan ada kanak-kanak yang sesak nafas malah ada yang terpaksa berpindah keluar buat sementara waktu.

“Setakat jam 3 petang ini, tiada lagi yang mengadu alami sesak nafas. Tapi kita harap ia tak jadi semakin serius,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad mengesahkan pihaknya telah mengambil tindakan lanjut sejurus menerima aduan daripada penduduk.

“Kami sudah mengambil sampel air dan tindakan selanjutnya akan dijalankan untuk menyiasat punca pencemaran dan jenis bahan terkandung di dalam air berkenaan,” katanya.

BACA: Menteri Agama Puji Video Solidariti Bersama Palestin Khairul Aming, Sofyank

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah