Siakap Keli
Solidariti Bersama Palestin
Sumber: Sinar Harian

Menteri Agama Puji Video Solidariti Bersama Palestin Khairul Aming, Sofyank

Menteri Agama Puji Video Solidariti Bersama Palestin Khairul Aming, Sofyank

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memuji personaliti media sosial, Khairul Aming, dan pereka kandungan digital, Sofyank, atas usaha murni mereka menghasilkan video kesedaran mengenai Palestin.

Menurut beliau, kolaborasi antara dua anak muda ini memberikan penerangan yang jelas dan mudah difahami tentang situasi masa lalu dan semasa yang dihadapi rakyat Palestin, dan ini sangat bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat.

“Syabas anak muda, ini contoh yang baik.

“Saya amat teruja dan terkesan dengan video terbaharu hasil kolaborasi Khairul Aming serta Sofyank berkisar tentang Palestin, ‘Eyes on Rafah’.

“Difahamkan video ini mendapat tontonan lebih 2.1 juta dalam masa satu hari dan hampir 57,000 perkongsian.

“Pencapaian luar biasa, tahniah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, kedua-dua pempengaruh media sosial tersebut menarik perhatian masyarakat dengan menghasilkan video infografik yang memperincikan sejarah kekejaman Israel terhadap Palestin, bermula dari Peristiwa Nakba 1948 hingga kejadian 7 Oktober tahun lalu. Video tersebut juga menggambarkan keadaan semasa di Rafah dan Jabalia ketika ini.

@khairulaming

Semoga kemerdekaan milik 🍉🤲. Ini kolaborasi pertama KA dengan @Sofyank96 dan kami nak hasilkan video infografik untuk terangkan apa yang berlaku di 🍉 adalah bukan konflik semata-mata. Video ni panjang sikit, 8 minit. Tapi kami harap dapat bantu sebarkan awareness untuk saudara kita di sana 🙏🏽🍉

♬ original sound – Khairulaming – Khairulaming

Difahamkan, video yang dimuat naik pada 23 Mei itu telah mencapai 50 juta tontonan dan lebih 600,000 perkongsian setakat ini.

Mohd Na’im turut memaklumkan, usaha kedua-dua belia itu dalam menyampaikan kandungan yang positif dan bermanfaat patut dijadikan teladan oleh orang ramai.

“Mari kita bersama-sama kongsikan video ini agar manfaatnya berterusan.

“Teruskan berkarya dan saya doakan kalian berdua terus maju dalam kerjaya masing-masing serta mencapai cita-cita yang dihajati.

“Solidariti bersama rakyat Palestin,” ujar beliau.

BACA: Tujuh Bayi Baru Lahir Maut Dalam Kebakaran Di Delhi

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah