Siakap Keli
tiga cap jari lokasi simbah asid
Sumber: Sinar Harian

Simbah Asid Faisal Halim: Tiga Cap Jari Di Lokasi Kejadian Tiada Rekod Dalam JPN

Simbah Asid Faisal Halim: Tiga Cap Jari Di Lokasi Kejadian Tiada Rekod Dalam JPN

Hasil daripada semakan terhadap tiga daripada lapan kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian simbah asid melibatkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan tiada rekod ditemui dalam sistem.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan bahawa pihaknya telah mendapatkan bantuan JPN untuk menyemak cap jari yang dianalisis oleh pihak forensik.

“Apabila JPN periksa, tiada sebarang rekod dalam sistem, kemungkinan cap jari ditinggalkan bukan ibu jari.

“Bagaimanapun, kita giat mencari bukti-bukti bagi siasatan kes terbabit,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Terdahulu, media melaporkan hasil analisis menunjukkan lima daripada lapan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian tidak cukup sifat.

Razarudin juga menyatakan bahawa baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Difahamkan, ia berkemungkinan individu-individu tersebut tidak pernah ditahan polis dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Susulan itu, pihak polis telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah individu yang disyaki sebagai suspek dalam kejadian tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu yang mirip dengan lakaran itu diminta tampil untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, pada 9 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain melaporkan bahawa polis sedang menganalisis cap jari yang ditemui di lokasi kejadian di mana Faisal disimbah asid.

Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badannya setelah disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

BACA: Guru Sabah Menang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah