Siakap Keli
Permohonan BUDI MADANI dibuka esok
Sumber: Kementerian Kewangan

Permohonan BUDI MADANI Untuk Kenderaan Diesel Dibuka Esok

Permohonan BUDI MADANI Untuk Kenderaan Diesel Dibuka Esok

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI iaitu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung Keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan BUDI MADANI yang akan dibuka mulai 28 Mei ini.

Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agro-Komoditi.

Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Kriteria kelayakan kategori BUDI Individu & BUDI Agro-Komoditi

Kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu adalah seperti yang berikut:

  1. Pemohon merupakan warganegara Malaysia.
  2. Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.
  3. Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif.
  4. Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).

Sementara itu, kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Agro-Komoditi pula adalah seperti yang berikut:

  1. Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
  2. Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

Permohonan awal BUDI Individu & BUDI Agro-Komoditi Menjelang Pertengahan Jun 2024

Dalam pada itu, permohonan awal bagi kedua-dua kategori boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan. Penerima tanpa akaun bank pula boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, orang awam diminta melayari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747/03-88824565/03-88824566 atau secara e-mel di alamat [email protected].

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.

BUDI MADANI lengkapi Program Penyasaran Subsidi Diesel secara Fleet Card di bawah MYSubsidi

Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui system MYSubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada Syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

Fleet card membolehkan syarikat logistic yang layak untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak. Usaha ini adalah untuk memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistic dan bekalan, secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

“Dengan pelaksanaan BUDI MADANI, Kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Seperti yang sering kali ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan Kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistic dan mojirit rakyat terus dilindungi,” kata Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

BACA: Sistem Kod QR Akan Diguna Pakai Di CIQ BSI, KSAB Mulai 1 Jun

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia

Sharifah Hannah Adibah