Siakap Keli
tanah runtuh papua new guinea
Sumber: ABC News

Tanah Runtuh Di Papua New Guinea, Lebih 2,000 Orang Tertimbus

Tanah Runtuh Di Papua New Guinea, Lebih 2,000 Orang Tertimbus

Pihak berkuasa tempatan di Papua New Guinea melaporkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa lebih daripada 2,000 orang dipercayai telah tertimbus akibat tanah runtuh yang berlaku pada Jumaat lalu, dan secara rasmi meminta bantuan antarabangsa.

Jumlah mangsa yang dilaporkan oleh kerajaan adalah kira-kira tiga kali ganda daripada anggaran PBB yang menjangkakan 670 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pergunungan pedalaman negara pulau di Pasifik Selatan itu.

Menurut ABC News, angka kematian sebanyak 670 adalah berdasarkan pengiraan oleh pegawai Kampung Yambali dan wilayah Enga, yang menyatakan lebih daripada 150 rumah telah tertimbus. Bagaimanapun, setakat ini, hanya mayat enam orang yang telah ditemui.

Dalam surat yang dikeluarkan pada Ahad, Pengarah Sementara Pusat Bencana Negara, Luseta Laso Mana, menyatakan bahawa tanah runtuh tersebut telah menimbus lebih daripada 2,000 orang “hidup-hidup” dan menyebabkan kemusnahan besar di Kampung Yambali di wilayah Enga.

Mana juga menyebut bahawa “keadaan masih tidak stabil” kerana masih berlaku runtuhan tanah yang berpotensi membawa bahaya berterusan kepada pasukan penyelamat dan mangsa yang terselamat.

BACA: Sistem Kod QR Akan Diguna Pakai Di CIQ BSI, KSAB Mulai 1 Jun

Difahamkan, tanah runtuh itu telah menimbus 200 meter (650 kaki) jalan utama wilayah tersebut dengan timbunan setinggi 6 hingga 8 meter (20 hingga 26 kaki), yang menjadi halangan besar kepada pasukan penyelamat.

Lokasi tapak bencana yang terpencil, kekurangan telekomunikasi, dan bahaya pertempuran antara suku kaum di sepanjang laluan utama turut menyukarkan usaha penyelamatan.

ABC News turut melaporkan, setakat ini, hanya sebuah jentera penggali yang disumbangkan oleh seorang pembina tempatan digunakan untuk membantu penduduk kampung yang menggali dengan penyodok dan alat pertanian untuk mencari mayat.

Pejabat Mana juga menyiarkan gambar beliau di Yambali menyerahkan cek bernilai 500,000 kina (kira-kira RM611,000) kepada pegawai tempatan untuk membeli bekalan kecemasan bagi 4,000 mangsa yang terselamat dan kehilangan tempat tinggal.

Selain itu, jentera berat yang digunakan oleh tentera Papua New Guinea sedang diangkut ke lokasi bencana yang terletak 400 kilometer (250 batu) dari bandar pantai timur Lae.

BACA JUGA: Permohonan BUDI MADANI Untuk Kenderaan Diesel Dibuka Esok

Sumber: ABC News

Sharifah Hannah Adibah