Beli Atau Sewa Rumah? Ini Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Buat Keputusan
Rumah adalah satu keperluan asasi kepada setiap manusia, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah berkeluarga.
Ketika bujang, anda mungkin sudah merasa cukup dengan menyewa bilik kecil sahaja. Namun begitu, situasinya boleh berubah apabila anda sudah berpasangan.
Bagi menjamin keselesaan, saat itu anda perlu mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat berteduh yang lebih luas dan tidak perlu berkongsi ruang dengan individu asing.
Biasanya, rumah akan dianggap selesa untuk didiami apabila memiliki ruang tamu, tempat tidur, dapur dan juga bilik air yang berasingan.
Begitupun, semua sudah sedia maklum, modal yang besar diperlukan seandainya anda membuat keputusan untuk memiliki sebuah kediaman.
Ketika dalam dilema, timbulah satu persoalan, dalam keadaan semasa ini yang manakah lebih sesuai, beli atau sewa rumah?
Beli atau sewa rumah, apa yang anda perlu tahu sebelum keputusan dibuat
Sebelum membuat sebarang keputusan atau menjawab persoalan di atas, ada beberapa perkara yang perlu anda fahami dahulu.
Membeli atau menyewa rumah, bukan hanya berkisar tentang kos semata-mata. Gaya hidup, umur anda, keadaan tempat kerja, karier yang stabil, lokasi kediaman yang diidamkan dan kesediaan untuk settle down dalam jangka masa panjang juga perlu diambil kira.
Faktor ekonomi semasa juga perlu dilihat. Impak inflasi kepada kos untuk menyewa dan kadar faedah sekiranya membuat pinjaman perumahan adalah dua benda yang perlu diteliti dengan sedalam-dalamnya.
Sekiranya memilih menyewa rumah
Apa yang perlu difahami, menyewa rumah adalah amalan biasa yang dilakukan ramai orang dan bukannya satu kesalahan pun.
Bagaimanapun, ramai pihak melihat pilihan ini bukanlah satu penyelesaian jangka panjang kepada masalah tempat tinggal anda.
Dengan menyewa, biarpun anda ‘memiliki’ tempat tinggal, namun dari segi pemilikan aset hakikatnya adalah sebaliknya.
Malah, ada juga yang melihat bayaran sewa yang dibuat bulan-bulan sebagai satu kerugian kerana anda membayar sesuatu yang bukan milik anda.
Selain itu, anda juga tidak boleh membuat sebarang renovasi kepada rumah tersebut tanpa persetujuan tuan rumah. Mana-mana renovasi yang dibuat pula, akan memberi keuntungan kepada tuan rumah sekiranya anda berpindah keluar nanti.
Kelebihannya pula, anda tidak perlu menanggung kos-kos pemilikan rumah yang lain seperti kos penyelenggaraan, cukai hartanah dan sebagainya. Kos-kos itu biasanya ditanggung oleh pemilik sebenar rumah tersebut.
Walaupun kos-kos berkenaan mungkin sudah dimasukkan dalam bayaran sewa yang dikenakan, tuan rumah masih perlu bersedia dengan situasi-situasi kecemasan yang lain.
Misalnya kerosakan pada struktur rumah seperti keretakan dinding, kebocoran atap serta masalah-masalah lain.
Sekiranya memilih membeli rumah
Berbeza pula apabila anda memilih untuk memiliki rumah sendiri kerana ini bermakna anda akan menjadi tuan kepada rumah berkenaan.
Setiap keputusan untuk melakukan renovasi (terutamanya bahagian dalam), boleh dibuat sendiri tanpa memerlukan persetujuan pihak lain.
Sekiranya rumah yang dibeli di kawasan hartanah bernilai tinggi, anda juga boleh membuat keuntungan sekiranya mengambil keputusan untuk menjual aset itu kelak.
Begitupun, memiliki rumah sendiri memerlukan komitmen dan kos yang tinggi. Segala perbelanjaan sebelum, semasa dan selepas pemilikan perlu ditanggung sendiri.
Sebagai permulaan, anda juga mungkin perlu menyediakan deposit yang jauh lebih tinggi untuk tujuan pemilikan berbanding deposit untuk menyewa.
Komitmen untuk membanting tulang juga perlu konsisten setiap masa. Bayaran pinjaman perumahan perlu dijelaskan kepada institusi perbankan setiap bulan. Gagal berbuat demikian, aset anda berisiko ditarik oleh bank dan segala pelaburan selama ini lebur begitu sahaja.
Kedua-dua keputusan ada pro & con tersendiri
Secara ringkasnya, kedua-dua keputusan di atas masing-masing ada baik dan buruknya. Namun begitu, keputusan yang dibuat perlu terlebih dahulu berpaksikan kemampuan kewangan diri sendiri.
Keputusan untuk membeli rumah tidak boleh dibuat secara bermudah-mudahan. Pendek kata, kos pemilikan yang perlu ditanggung adalah lebih tinggi berbanding kos untuk menyewa.
Tanggungjawab yang perlu ditanggung sebagai penyewa dan pemilik rumah juga berbeza.
Jadi, beri masa kepada diri sendiri untuk membuat pertimbangan dan kaji dahulu baik buruk sebelum keputusan diputuskan.
BACA: Cara “Switch” Akaun Peribadi Ke Enterprise Aplikasi MAE Maybank Dalam Satu Peranti
Sumber: Fortune