Asnaf Di Wilayah Persekutuan Akan Dapat Bantuan RM500 Sempena Hari Raya Aidil Adha
Bantuan Insentif Khas sempena Hari Raya Aidil Adha sebanyak RM500 akan disalurkan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan itu akan diberikan kepada 32,300 orang asnaf penerima bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menurutnya, ia terdiri daripada kategori asnaf fakir, miskin, muallaf dan Ar-Riqab.
“Dalam hal ini, secara keseluruhannya, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM16,150,000 daripada wang kutipan zakat yang diterima untuk diagihkan bagi membolehkan para asnaf membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga tersayang,” katanya.
BACA: 289 Bakal Jemaah Haji B40 Di Wilayah Persekutuan Terima Insentif RM500
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman X, beliau juga memaklumkan bantuan itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 14 Jun 2024.
“Semoga wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui MAIWP akan sentiasa berusaha dari masa ke semasa menyantuni keperluan serta kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.
Imbas kembali, seramai 289 bakal jemaah haji dari keluarga B40 di Wilayah Persekutuan menerima insentif sebanyak RM500 dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk musim haji tahun ini.
Pemberian tersebut adalah tanda keprihatinan jabatan itu kepada kebajikan masyarakat B40 serta mereka yang memerlukan.
Sementara itu, tarikh melihat anak bulan Zulhijjah bagi Hari Raya Aidil Adha tahun ini ditetapkan pada petang Jumaat, 7 Jun 2024.
Ia akan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang Jumaat, 7 Jun 2024 Masehi, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijriah.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” kata Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
Sumber: Dato’ Setia Dr.Naim