Bapa Cukur Kepala Anak Didakwa Buli Rakan Pesakit Kanser
Seorang bapa telah mengambil tindakan tegas dengan mencukur rambut anak lelakinya yang didapati membuli rakan di sekolah yang juga pesakit kanser.
Lelaki berusia 36 tahun itu mengambil tindakan tersebut setelah anaknya tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas perbuatannya.
Kejadian ini bermula apabila anak sulungnya, 17, memberitahu secara peribadi bahawa adiknya, 15, telah mengejek seorang rakan sekelas yang menghidap kanser.
Mendengar hal itu, bapa tersebut segera bersemuka dengan anaknya dan menyuruhnya memohon maaf kepada mangsa buli.
Namun, anaknya menolak dengan tegas dan menyatakan bahawa dia tidak akan meminta maaf.
Ketika ditanya alasan dia membuli rakan sekelasnya itu, anaknya hanya menjawab bahawa ia “lucu”.
Semasa perbincangan dengan anak bongsunya, anak sulungnya secara bergurau mencadangkan agar bapanya mencukur rambut adiknya jika dia tidak menyesal dengan perbuatannya.
Bapa itu merasakan bahawa hukuman tersebut adalah “yang terbaik” ketika itu. Dia kemudiannya memberikan dua pilihan kepada anaknya, sama ada meminta maaf kepada mangsa buli atau rambutnya akan dicukur. Anak bongsunya memilih untuk dicukur rambutnya.
Ketika rambutnya dicukur, anak bongsu itu menangis dan menjadi marah, lalu menyatakan bahawa dia berharap perkara buruk berlaku kepada bapanya dan abangnya.
Selepas kejadian itu, bapa tersebut berkongsi kisah ini di media sosial untuk mendapatkan pandangan sama ada tindakannya terlalu “berlebihan”.
Kini, anak bongsunya enggan bercakap dengan bapa atau abangnya dan ‘mogok’ tidak mahu keluar dari biliknya.
Lelaki itu bimbang bahawa tindakannya telah merosakkan hubungan antara mereka. Dia merasakan bahawa hubungannya dengan anaknya mungkin tidak akan sama lagi dan kini berusaha untuk memperbaiki keadaan.
BACA: Dakwa Kerap Gosok Mata, Pemuda Ini Kongsi Terpaksa Jalani “Cornea Transplant”
Sumber: Daily Express US