Mirip Kaabah, Ini Fakta Mukaab Bakal Jadi Bangunan Terbesar Di Arab Saudi
Sehingga kini, banyak bangunan-bangunan pencakar langit megah berdiri dan ia menjadi simbolik kepada sesebuah negara misalnya Burj Khalifa di Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan terbaru Menara Merdeka 118 yang menjadi kebanggaan negara.
Di tengah-tengah pembangunan pesat ini, tahukah anda Arab Saudi telah pun memulakan satu projek ‘gila’ iaitu membina bangunan terbesar di dunia di tengah-tengah pusat bandar baharu di ibu kota?
Lebih menarik, projek bangunan yang dinamakan sebagai ‘Mukaab’ itu mempunyai rupa bentuk yang hampir menyerupai Kaabah atau kiub.
Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan fakta-fakta menarik mengenai projek mega itu di bawah. Semoga bermanfaat.
Mukaab pintu ke ‘dunia baharu’

Menurut portal Fact Magazines, Mukaab merupakan cetusan projek Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz yang bertapak di ibu kota Arab Saudi, Riyadh.
Bangunan tersebut terletak di persimpangan Jalan Raja Salman dan Jalan Raja Khalid, yang terletak di barat laut Riyadh.
Projek yang menelan $800 bilion itu adalah sebahagian daripada Syarikat Pembangunan Murabba Baru dan matlamat pembinaan Mukaab bertujuan untuk menggandakan saiz dan populasi ibu kota itu.
BACA: Ini Fakta Menarik Kereta Api Laju ‘Whoosh’ Indonesia, Mampu Capai Kelajuan Hingga 350 Km/j
Difahamkan, setelah bangunan itu siap sepenuhnya, ia dipercayai akan mengubah pusat bandar Riyadh menjadi salah satu pusat bandar moden terbesar di dunia sekali gus menjadikan ia sebagai sepuluh bandar yang paling sesuai untuk didiami.
Projek itu juga dijangka akan mengembangkan lagi ekonomi dan mewujudkan 334,000 pekerjaan baharu di negara berkenaan.
Ciri-ciri Mukaab

Keajaiban seni bina ini bakal tersergam indah tidak lama lagi kerana rupa luarannya diselaputi warna keemasan dan berkilauan.
Bangunan yang berbentuk seperi kiub ini berukuran 400 meter tinggi dan lebar, menjadikan ia cukup besar untuk menampung 20 bangunan Empire State of New York.
Selain itu, bakal bangunan tertinggi di Riyadh ini juga mempunyai dua juta meter ruang lantai.
Bahagian dalam Mukaab pula terdapat sebuah menara di atas pangkalan lingkaran yang akan menjadi rumah kepada tarikan runcit, kebudayaan dan pelancongan, yang termasuk hotel, kediaman dan kemudahan rekreasi.

Kemudahan komuniti tersebut memiliki keluasan 1.8 juta meter persegi, manakala kemudahan riadah pula seluas 620,00 meter persegi.
“1.4 juta meter persegi ruang pejabat, 1.8 juta meter persegi ruang kemudahan komuniti, lebih 980,000 meter persegi ruang runcit, 620,000 meter persegi kemudahan riadah, 9,000 bilik hotel”
Seni bina Mukaab mengambil inspirasi daripada seni bina Najd, menggabungkan konsep tradisional dan modern.
Jadi, jangan terkejut pula, di dalam Mukaab juga terdapat universiti, makmal inovasi, 80 tempat kebudayaan dan hiburan seperti pawagam, dewan konsert, teater imersif pelbagai guna dewan opera dan muzium galeri.
Bangunan milik Syarikat Pembangunan Murabba Baharu dijangka siap sepenuhnya pada 2030 sejajar dengan Wawasan Saudi 2030, yang bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi selain minyak.
Menarik bukan? Semoga bermanfaat.
Sumber: Murabba, Fact Magazines