Polis Rampas Telefon Bimbit Milik Ibu Bapa Zayn Rayyan
SHAH ALAM — Telefon bimbit milik ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dirampas oleh pihak polis bagi membantu siasatan seterusnya, lapor Sinar Harian.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Ahad.
“Rampasan itu adalah bertujuan membantu siasatan. Berhubung perkara lain, buat masa ini kita tidak dapat dedahkan lagi,” ujarnya.
Sementara itu, bagi membantu siasatan ibu dan bapa Zayn Rayyan direman selama tujuh hari sejak Sabtu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, pasangan berusia 28 tahun itu masih direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan diwakili oleh peguam, Mahmud Abdul Jumaat.
Pada 10.25 pagi Jumaat lalu, kedua-dua mereka ditaham oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam.
Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia
Pada awal Disember lalu, kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dilapor hilang di kawasan kediaman di Apartment Idaman, Damansara Damai tengah hari ditemui meninggal dunia.
Mayat mangsa yang berusia enam tahun itu ditemui di anak sungai berhampiran kawasan kediaman sekitar jam 10 malam.
BACA: Suami Isteri Maut Menanti Sembilan Tahun Kelahiran Anak Kembar
Difahamkan, mayat mangsa telah ditemui oleh sekumpulan penduduk yang dikatakan turun membantu pasukan penyelamat dalam operasi mencari adik Zayn.
Mangsa dikatakan telah ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediaman keluarga mangsa.
Susulan penemuan mayat mangsa tersebut, polis kini telah menutup laluan ke belukar kawasan kediaman yang menuju ke lokasi mayat ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid yang berada di lokasi kejadian telah mengesahkan penemuan tersebut.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kita baru menemui mayat mangsa dan kini dalam peringkat menyiasat lokasi sekitar kawasan mayat ditemui,” katanya.