Tinggal sehari lagi menjelang sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 yang akan berlangsung selama 2 hari pada 7 – 8 Jun 2024 bertempat di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kuala Langat. Penganjuran yang meriah pada kali ini dijangka akan disertai oleh seramai 15,000 pengunjung untuk menikmati pelbagai pengisian yang telah disediakan.
Menurut Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Mohd Faizal Tokeran, hampir 500 program serta pelbagai aktiviti yang akan dijalankan bagi mendedahkan kepada orang awam tentang pelbagai potensi di dalam bidang TVET. Selain kemuncak sambutannya pada 7-8 Jun 2024, pengunjung akan dihidangkan dengan 5 hub dan aktiviti dalam tempoh 2 hari ini. 5 hub dan aktiviti yang dimaksudkan boleh dirujuk melalui pautan INI.
Bagi penganjuran HTN 2024, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengendalikan karnival kerjaya yang menawarkan sekitar 3,000 peluang pekerjaan di dalam bidang TVET yang diyakini mampu bersinar pada masa akan datang.
Menurut Dr Mohd Faizal, HTN 2024 akan dihiasi juga dengan pameran aeroangkasa dan permainan robotik yang dijangkakan akan menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama.
Dalam masa yang sama, HTN 2024 akan menjadi medan untuk menyaksikan pelancaran Dasar TVET Negara 2030 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun ini.
Menurut Dr Mohd Faizal, bidang TVET akan membuka peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih besar di samping memberi nilai tinggi di samping dapat menarik lebih ramai ke dalam bidang ini.
Bahang HTN 2024 Kian Terasa, Persediaan Giat Dijalankan
Menerusi tinjauan pengamal media pada 5 Jun 2024, persediaan penganjuran HTN 2024 sedang giat dijalankan agar dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung di samping memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar.
Persediaan yang dijalankan boleh dikatakan melibatkan hampir keseluruhan bahagian di ILP, Kuala Langat yang akan menjadi medan pendedahan bidang TVET kepada orang ramai. Pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk tempat letak kenderaan, di samping khemah yang menawarkan makanan untuk pengunjung.
Berikut antara momen-momen yang sempat dirakam ketika kerja-kerja persediaan dijalankan.