Siakap Keli

Paksa Anak Jalan Itik & Pukul, Bapa Dipenjara Lapan Bulan

Paksa Anak Jalan Itik & Pukul, Bapa Dipenjara Lapan Bulan

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki berdepan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas bertindak menyuruh dua anaknya yang berumur 13 dan 15 tahun berjalan itik tanpa henti dan memukul mereka menggunakan jaring raket badminton, lapor Sinar Harian.

Hakim, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang juga seorang penganggur, 35,  mengaku bersalah ke atas empat pertuduhan yang dibaca terhadapnya.

Difahamkan, tarikh hukuman telah diperintahkan oleh Mahkamah dilakukan serentak bermula tarikh tangkap pada 1 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, anak lelaki berusia 13 tahun dan anak perempuan, 15, didakwa telah dianiaya secara sengaja oleh bapanya sehingga didakwa mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Kejadian dilakukan oleh tertuduh sekitar jam  9 malam pada 30 Mei sehingga 1 Jun di sebuah unit kediaman blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong Utara.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA: Malaysia Kekal Sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik 2024

Bagaimanapun, Hakim sempat mengajukan soalan, adakah tindakanya bersifat mengajar dan faktor utama tertuduh bertindak sedemikian sebelum menjatuhi hukuman.

Hakim: Jadi, apa tujuan kamu pukul, adakah untuk mengajar?

Tertuduh: Ya, tapi saya tak sangka situasi boleh menjadi seteruk ini.

Menurut laporan, remaja itu telah dipukul pada bahagian kaki oleh tertuduh menggunakan jaring yang terpasang pada sebatang raket badminton.

Selain itu, mangsa juga dipaksa berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh masa yang lama termasuk dilempang muka dan memukul badan.

Tertuduh turut menggunakan jaring raket badminton untuk memukul muka anak perempuannya pada keesokan.

Bagi kesalahan yang sama tidak diulangi pada masa hadapan dan menjadi pengajaran, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukuman yang dikenakan minimum, selain mengakui telah insaf akan kesalahan yang dilakukan dan menjelaskan tertuduh merupakan penyara tunggul keluarga.

“Saya mempunyai tiga lagi anak yang masih kecil malah saya ada penyakit kencing manis, jantung dan tekanan darah tinggi.

“Mohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana saya mahukan peluang kedua untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.