Malaysia Kekal Sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik 2024
PUTRAJAYA — Malaysia kekal sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 buat kali kesembilan, lapor Sinar Harian.
Dalam laporan GMTI yang dikeluarkan, Malaysia turut dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut pada Halal in Travel Awards di Singapura.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin, kebolehcapaian kepada makanan Halal, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan berkaitan agama menjadi faktor pengembara Muslim berkunjung ke Malaysia, meningkatkan lagi populariti negara ini.
Tambahan lagi, Malaysia juga mempunyai kepelbagaian budaya, pantai yang lawa serta pengalaman membeli-belah yang sangat lain daripada yang lain.
“Di samping itu, ia menawarkan pelbagai pakej pelancongan mesra muslim yang mana membolehkan pelancong merasai kekayaan sejarah negara, seni bina masjid, warisan, gastronomi, alam semula jadi serta seni dan budaya.
“Sebagai negara majoriti Islam, Malaysia memanfaatkan infrastruktur sedia ada. Melalui ITC sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Malaysia sentiasa berusaha untuk memberi pengalaman yang indah kepada pengembara Islam dalam menunaikan kewajipan agama mereka ketika melancong,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lebih lanjut, Nizran berkata pasaran Muslim global menawarkan peluang yang besar dengan populasi melebihi 1.9 bilion individu.
BACA: China Umum Bakal Buka Bandar Hospital AI Pertama
“Pada pra pandemik dilaporkan oleh Mastercard dan CrescentRating pertumbuhan ketara dalam pasaran pelancongan Muslim dengan bilangan pengembara meningkat daripada 108 juta pada 2013 kepada 160 juta pada 2019.
“Selepas sempadan dibuka semula di seluruh dunia, laporan GMTI terbaharu menjangkakan sebanyak 230 juta pelancong Islam menjelang 2028,” katanya lagi.
Tambah Nizran, kerajaan dan pihak berkepentingan tetap berdedikasi untuk mengukuhkan lagi daya tarikan pelancong muslim dan memperjuangkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.
“Oleh sebab itu, ITC menyediakan pelbagai latihan, pembinaan kapasiti, penyelidikan, pembangunan piawaian dan pensijilan.
“Ini memastikan pemain industri memahami keperluan pelancong Muslim dan bersedia untuk memberikan nilai kepada segmen ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian