China Umum Bakal Buka Bandar Hospital AI Pertama
China dilapor bakal membuka bandar hospital kecerdasan buatan (AI) pertamanya di mana pesakit dirawat secara maya oleh doktor janaan AI, lapor Anadolu Agency.
Kejayaan itu diumumkan oleh China menerusi laporan oleh agensi berita milik kerajaan, pada 29 Mei lepas.
“Konsep bandar hospital AI, iaitu di mana pesakit dirawat oleh doktor AI, memiliki kepentingan signifikan sama ada kepada kerjaya sebagai ahli perubatan dan juga kepada pesakit.
“Hospital AI bertujuan untuk melatih ejen doktor melalui persekitaran simulasi supaya teknologi itu boleh berkembang secara autonomi dan meningkatkan keupayaan untuk merawat penyakit,” ujar media berkenaan.
Dalam pada itu, penyelidik daripada Universiti Tsinghua yang bertanggungjawab mencipta teknologi berkenaan turut berkongsi manfaat pendekatan baharu ini terhadap penjagaan kesihatan.
China bakal buka bandar hospital AI pertama pada suku kedua tahun ini
Menurut penyelidik berkenaan, dunia maya yang dikenali sebagai Ejen Hospital berkenaan terdiri daripada dua entiti iaitu petugas perubatan dan pesakit.
Semua doktor, jururawat dan pesakit pula dikawal menerusi ejen kecerdasan yang dikuasakan oleh large language models (LLMs) dan boleh berkomunikasi secara autonomi.
Selain itu, turut dibina dalam dunia maya berkenaan adalah pelabagai kemudahan yang biasa ada seperti di sebuah hospital nyata.
Setakat ini, penyelidik menetapkan konfigurasi 14 doktor dan empat orang jurarawat dalan Ejen Hospital.
14 doktor berkenaan bertanggungjawab melakukan diagnosis ke atas pesakit dan menyediakan pelan rawatan. Manakala jururawat pula bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan sokongan harian.
Dalam dunia tersebut, doktor AI dikatakan dapat merawat 10,000 orang pesakit dalam tempoh beberapa hari. Secara realitinya, doktor dalam dunia realiti memerlukan masa sehingga dua tahun untuk merawat jumlah pesakit yang sama.
Banyak manfaat kepada dunia perubatan sebenar
Ketua Pasukan Penyelidik Ejen Hospital, Liu Yang berkata kaedah inovatif ini juga membolehkan doktor sebenar merawat pesakit di alam maya, sekaligus menyediakan platform latihan yang lebih baik kepada pelajar perubatan.
Menerusi pesakit yang disimulasikan oleh AI, pelajar boleh mencadangkan pelbagai pelan rawatan tanpa membahayakan pesakit yang sebenar.
Latihan yang berterusan dengan menggunakan teknologi itu pula kelak dapat melahirkan ahli perubatan berkemahiran tinggi.
Sekiranya pesakit adalah pesakit sebenar dan doktornya pula adalah AI, perkhidmatan teleperubatan pula akan ditawarkan kepada pesakit.
Hal ini kerana, bandar hospital AI boleh memanfaatkan semua pengetahuan perubatan berwibawa sehingga membolehkan doktor AI mengendalikan ratusan ribu hingga jutaan kes.
“Hospital AI juga boleh mensimulasikan dan meramalkan pelbagai senario dalam dunia perubatan. Misalnya bagaimana sesuatu penyakit itu disebarkan, kemudian berkembang dan kaedah kawalan yang boleh diterapkan di satu-satu wilayah,” kata Liu.
Liu juga memberitahu bandar hospital AI berkenaan sudah hampir bersedia untuk kegunaan praktikal selepas enam bulan pembangunan. Mereka menjangkakan teknologi tersebut untuk beroperasi pada separuh kedua 2024.