Dua Maut Dipercayai Keracunan Makanan Disediakan Program Sekolah
GOMBAK — Dua orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun maut akibat keracunan makanan yang dibawa pulang dari program sebuah sekolah.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Kata Noor Ariffin, kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati dalam kes pertama mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 17 tahun. Pada Sabtu, mangsa telah makan makanan yang telah dibawa balik oleh ibunya selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah.
“Selepas memakan makanan tersebut, mangsa dan ibu bapanya mengalami ciri-birit. Semalam, jam lebih kurang 1.30 tengahari, mangsa tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, bapa mangsa telah menghubungi pihak MERS 999 untuk mendapatkan bantuan sebelum anaknya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dalam pada itu, kes kedua melibatkan seorang kanak-kanak perempuan tempatan berusia dua tahun.
“Pada Sabtu, bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah telah membawa balik makanan selepas selesai program di sekolah tersebut dan ada memberi mangsa makan makanan tersebut.
“Semalam, jam lebih kurang 10.45 pagi, ibu mangsa mendapati mangsa demam, muntah-muntah, dan cirit-birit. Ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang. Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan oleh pegawai perubatan di hospital berkenaan,” kata Noor Ariffin lagi.
BACA: “Bila Penat Kerja, Saya Tengok Gambar Keluarga,” Bapa Travel Lebih 300km Sehala Cari Rezeki Keluarga
Ujarnya, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang melihat atau mmepunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Inspektor Heirme bin Che Mad di talian 014-2389151 dan pegawai penyiasat jenayah Inspektor Khalpna A/P Rajandhiran di talian 012-5018901 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Gombak di talian 03-61262222,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sumber: Polis Daerah Gombak