Siakap Keli
penerbangan kl labuan bajo
Kredit: BAY ISMOYO/AFP

Penerbangan Terus KL-Labuan Bajo Bermula September Depan

Penerbangan Terus KL-Labuan Bajo Bermula September Depan

Indonesia – Ketua Unit Penyelenggara Lapangan Terbang (UPBU) Komodo Labuan Bajo, Ceppy Triono, mengumumkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo bakal bermula pada 3 September 2024, lapor Tribun News.

“Kita akan ada laluan penerbangan antarabangsa Kuala Lumpur (ke) Labuan Bajo dan Labuan Bajo (ke) Kuala Lumpur untuk penerbangan AirAsia pada 3 September 2024. Ia sudah ditetapkan. Harap-harap penumpangnya ramai,” kata Ceppy.

Menurutnya, selain AirAsia, penerbangan antarabangsa ke Labuan Bajo juga telah menarik minat syarikat penerbangan Australia iaitu Qantas dan Jestar. Bagaimanapun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan.

“Jetstar laluan Singapura-Labuan Bajo dan Qantas mungkin laluan Perth-Labuan Bajo. Tapi ini hanya perbincangan awal, ia belum ditetapkan lagi.

“Hanya satu yang telah ditetapkan iaitu Kuala Lumpur – Labuan Bajo oleh AirAsia pada 3 September,” katanya.

Jelasnya lagi, berikutan pengiktirafan sebagai lapangan terbang antarabangsa, pembangunan Lapangan Terbang Komodo sedang dipercepat.

Penaiktarafan ini termasuk memanjangkan landasan dan memperluaskan kawasan apron atau tempat parkir pesawat. Hal ini bagi memuatkan pesawat berkapasiti besar dan lebih lebar seperti Airbus A330 dan Boeing 777. Kedua-dua projek itu disasarkan siap pada hujung tahun ini.

Perkara ini turut melibatkan proses memenuhi keperluan keselamatan dan keperluan perkhidmatan bagi lapangan terbang antarabangsa. Antara keperluan yang melibatkan penerbangan terus ini ialah khidmat kastam, imigresen dan kuarantin untuk layanan penumpang kapal terbang antarabangsa.

“Kalau (kerja naik taraf) apron itu sehingga hujung tahun, begitu juga landasan. Tahap kerja naik taraf landasan ketika ini mencapai 25 hingga 30 peratus. Perkara ini berikutan kesukaran proses memperbaiki kontur tanah yang mungkin selesai hujung tahun. Panjang landasan yang sedia ada 2.65 meter akan dipanjangkan menjadi 2.75 meter,” kata beliau lagi.

BACA: Pelancong Ke Thailand Perlu Bawa Minimum Wang Tunai RM1,992

Sasaran menerima 1 juta penumpang

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia (MENPAREKFRAF), Sandiaga Uno berharap  Bandar Labuan Bajo mencapai sasaran menerima 1 juta penumpang setelah wujudnya penerbangan terus laluan antarabangsa dari beberapa buah negara.

“Saya telah menyelaraskan bersama Menteri Pengangkutan dan Menteri Hal Ehwal Kelautan dan Perikanan, untuk menambah jumlah pesawat secara beransur-ansur supaya (adanya) ketersediaan tempat duduk dan menjadikan harga tiket mampu milik.

“Kerana bagi kami, destinasi mesti boleh dituju dengan kos yang tidak membebankan pelancong, terutamanya pelancong domestik,” kata Sandiaga ketika berada di Labuan Bajo baru-baru ini menurut laporan Tribun News.

Sumber: Tribun News

Azizah Najib

Menulis tanpa henti