Waris Pegawai & Anggota Insiden Helikopter TLDM Terima Pampasan Takaful Gadai Janji LPPSA
Lumut, (14 Jun) –Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bersama Markas Udara TLDM telah mengadakan majlis Penyerahan replika cek pampasan Takaful Gadai Janji Penyelesaian Pembiayaan LPPSA kepada tujuh (7) waris pegawai dan anggota insiden kemalangan helikopter yang masih mempunyai pembiayaan perumahan LPPSA.
Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Encik Mohd Farid bin Dato’ Hj Nawawi, secara simbolik telah menyampaikan replika cek pampasan berjumlah RM1,958,766.33 kepada Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abd Halim Bin Haji Shaari, Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM yang turut disertai Yang Berbahagia Brigadier Jeneral Hamdan Bin Ahmad TUDM, Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas ATM.
BACA: Nahas Helikopter TLDM: Tiga Wanita, Dua Pegawai Memerintah Antara 10 Terkorban
Mereka seterusnya menyerahkan surat Pengesahan Penyelesaian Pembiayaan Perumahan LPPSA kepada waris pegawai & anggota yang terlibat. Inisiatif ini diambil bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka dalam situasi yang sukar ini.
Usaha LPPSA ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pelanggan mengenai perlindungan Takaful Gadai Janji yang melindungi pembiayaan perumahan dengan LPPSA.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pegawai Operasi LPPSA, Encik Zuwardi bin Zubir, pegawai-pegawai LPPSA, wakil TLDM, dan wakil waris pegawai dan anggota yang terlibat.
Sumber: LPPSA