Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Negara Berdukacita, Nahas Udara TLDM Lumut Yang Terburuk Libatkan Helikopter
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Malaysia hari ini dikejutkan dengan nahas udara yang meragut 10 nyawa apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi.
Tragedi menyayat hati itu merupakan nahas terburuk membabitkan helikopter terhempas di negara ini sejak sembilan tahun lepas dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.
Nahas helikopter dengan angka korban tertinggi sebelum ini berlaku pada 5 Mei 2016 apabila sebuah Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak yang mengorbankan enam individu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Dalam tragedi pada 9.32 pagi tadi, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.
Proses bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari dua lokasi bangkai pesawat tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Perubatan (I) HRPB Dr Liaw Kok Toon berkata proses itu dijangka selesai tengah hari esok.
Beliau berkata anggota TLDM terbabit berpangkalan di Lumut, Perak serta Kota Kinabalu, Sabah dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menerusi catatan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.
“Saya dan Raja Zarith Sofiah berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya,” titah Sultan Ibrahim.
Menurut Selangor Royal Office dalam catatan di laman Facebook hari ini, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut sebelum Solat Jumaat dan Sultan Sharafuddin, selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, dijangka berangkat ke majlis berkenaan.
Anwar berkata tragedi itu ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga ATM dan kehilangan besar buat negara serta mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dan berdoa agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi musibah itu.
“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan oleh Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas,” kata Perdana Menteri.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata semua pihak perlu menghormati waris mangsa dengan tidak memuat naik sebarang video atau gambar yang sensitif bagi menjaga sensitiviti keluarga terbabit.
“Saya akan minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk meneliti dan sekiranya perlu, untuk ambil apa-apa tindakan kerana ia seperti mana-mana nahas kemalangan lain kita perlu beri ruang kepada ahli keluarga dan tidak menyebarkan video tersebut,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).
Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.
Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat).
BACA: Nahas Helikopter TLDM: Muhammad Faisol Minta Bergambar Buat Kali Terakhir – Kakak
Sumber: Bernama