Siakap Keli
Manten Sapi Indonesia
Sumber: detikTravel

Manten Sapi: Tradisi Unik Sambutan Aidiladha Di Indonesia

Manten Sapi: Tradisi Unik Sambutan Aidiladha Di Indonesia

Sama seperti di Malaysia, masyarakat Muslim di seluruh dunia turut menyambut perayaan Aidiladha dengan penuh meriah, termasuk di Indonesia.

Negara jiran ini memiliki pelbagai tradisi unik yang menjadi identiti dan lambang masyarakat setempat.

Salah satu tradisi yang menarik perhatian ialah sambutan Aidiladha di Pasuruan, Jawa Timur, yang dikenali sebagai “Manten Sapi” atau “Pengantin Sapi”.

Tradisi ini mungkin kedengaran pelik, tetapi ia adalah salah satu tradisi turun-temurun yang masih kekal diamalkan di Indonesia.

Manten Sapi biasanya dilakukan sehari sebelum Hari Raya Aidiladha. Masyarakat di sana melakukan tradisi ini sebagai ‘simbol penghormatan’ kepada haiwan yang akan dikorbankan.

Sebagai penghormatan, haiwan korban, khususnya lembu, akan dimandikan dengan air kembang dan dihias indah.

Lembu-lembu ini akan dirias seperti pengantin, diberi kalung bunga tujuh rupa dan diselimuti kain putih.

Penampilan lembu yang dihias cantik dan tampan seperti pengantin itulah yang menjadi asal-usul nama “Manten Sapi” atau “Pengantin Sapi”.

BACA: Indonesia, Thailand Doakan Faisal Halim Cepat Sembuh

Selepas dihias, lembu-lembu ini akan diarak berkeliling oleh masyarakat sebelum diserahkan untuk penyembelihan di masjid.

Perarakan ini tidak hanya meriah dengan penampilan lembu yang dihias, tetapi juga diiringi oleh penduduk yang membawa pelbagai barang makanan seperti minyak masak, beras, rempah ratus dan kayu bakar.

Makanan tersebut kemudian akan disampaikan kepada penduduk yang kurang berkemampuan agar mereka tidak mengalami kesulitan dalam memproses daging yang diperoleh.

Selain sebagai tradisi tradisional unik yang menarik, tradisi turun-temurun ini juga dilakukan sebagai sebahagian daripada syiar Islam.

Melalui tradisi ini, masyarakat diharapkan dapat terdorong untuk menyertai amalan berkurban pada Aidiladha setiap tahun.

Dalam pada itu, penduduk setempat merasa bangga kerana kerana di tengah banyaknya tradisi tempatan yang hilang, tradisi ini masih terus diamalkan sebagai alat untuk mengekalkan dan menyelamatkan warisan budaya setempat.

Tradisi Manten Sapi dipercayai bukan sahaja mencerminkan penghormatan terhadap haiwan korban, tetapi juga memperkukuh nilai-nilai kebersamaan dan kebajikan dalam masyarakat, selari dengan semangat Aidiladha.

BACA: Indonesia Bakal Uji Teksi Terbang Di Nusantara Julai Ini

Sumber: detikTravel

Sharifah Hannah Adibah