Siakap Keli
samun kedai emas kajang
Gambar: Video Tular

Polis Buru Empat Lelaki Bertopeng Guna Senjata Samun Kedai Emas Di Kajang

Polis Buru Empat Lelaki Bertopeng Guna Senjata Samun Kedai Emas Di Kajang

KAJANG — Polis kini mengesan empat lelaki bertopeng yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun menggunakan senjata api di sebuah kedai emas di pusat beli-belah Plaza Metro Kajang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitenden Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang saksi pada jam kira-kira 3.30 petang tadi.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku sekitar jam 3.17 petang dengan melibatkan empat suspek yang berpakaian seperti pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap.

“Suspek telah masuk ke sebuah premis kedai emas di tingkat satu bangunan tersebut dan terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.

“Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis, sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Kedai Emas Disamun Dalam Masa Dua Minit Oleh Empat Lelaki

Sementara itu, Mohamad Nasir memaklumkan, siasatan masih dijalankan oleh pihak polis ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan termasuk beberapa saksi kejadian diambil bagi membantu siasatan.

Difahamkan, jumlah kerugian juga belum dapat disahkan dan masih dalam siasatan pihak polis.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu  ASP Mohd Afiq Farhan bin Mohd Nor di talian 012-2446768,” ujarnya.

Sumber: Polis Daerah Kajang

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?