Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kedai Emas Disamun Dalam Masa Dua Minit Oleh Empat Lelaki
Satu kejadian samun menggunakan senjata api dilapor berlaku di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Kota Warisan, pada Selasa.
Menurut Sinar Harian, insiden berkenaan disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.14 malam, hari tersebut.
Menurut Wan Kamarul, kejadian samun itu dipercayai melibatkan empat lelaki yang tidak diketahui bangsa dan warganegaranya.
Mereka dipercayai menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna perak.
Kenderaan itu kemudian diparkir di bahagian belakang pasar raya sebelum suspek masuk melalui sebuah kedai makanan segera di bahagian tepi bangunan pasar raya tersebut.
Tambah Wan Kamarul lagi, suspek telah menyerbu masuk ke dalam kedai emas sambil mengacukan senjata yang dipercayai pistol. Suspek juga dikatakan telah mengeluarkan sendiri emas yang berada di dalam kabinet pameran kedai emas tersebut.
“Kesemua suspek memakai topi keledar, bersarung tangan, berjaket dan berseluar warna gelap telah masuk ke dalam kedai emas jam 8.14 malam dan keluar semula jam 8.16 malam.
“Suspek keluar melalui laluan lain di pintu belakang dan terus menaiki kereta yang mana seorang lagi suspek telah siap sedia menunggu di dalam kereta,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Bagaimanapun, tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh suspek dalam kejadian rompakan itu.
Wan Kamarul berkata lagi, rantai leher serta rantai tangan pelbagai saiz dan berat antara barang yang berjaya disamun oleh perompak terbabit.
Sehingga kini, anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan pihak polis dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau balai polis berdekatan, selain menghubungi terus pegawai penyiasat, ASP Boby Tamat di talian 013-5557858,” ujarnya.
Semalam, video rakaman rompakan kedai emas tersebut turut tular di media sosial. Menerusi video muat naik tersebut, sekumpulan perompak dilihat telah memecahkan kabinet pameran dan melarikan diri sejurus rompakan itu dilakukan.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: Sinar Harian