Siakap Keli
Rumah tujuh sekeluarga terbakar
Sumber: Sinar Harian

Rumah Kediaman Tujuh Sekeluarga Terbakar, Tiga Kenderaan Musnah

Rumah Kediaman Tujuh Sekeluarga Terbakar, Tiga Kenderaan Musnah

Tujuh sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka berhampiran Taman Desa Penaga, Jelutong, terbakar pada jam 8.55 pagi Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Timbalan Penguasa Bomba I A’azelan Hassan, memaklumkan tiada kemalangan jiwa berlaku, namun dua mangsa mengalami tekanan darah tinggi dan cedera ringan.

Menurut A’azelan, seorang wanita berusia 39 tahun mengalami tekanan darah tinggi, manakala abangnya berusia 54 tahun cedera di tangan.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan tidak dirawat di hospital.

“Mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan satu unit rumah kelas B dengan anggaran keluasan 30 x 20 kaki persegi.

“Anggaran kemusnahan keseluruhan rumah adalah sebanyak 90 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebakaran turut melibatkan dua kereta jenis Perodua Axia dan Proton Wira serta sebuah motosikal Yamaha Ego.

“Ketiga-tiga kenderaan itu juga musnah 90 peratus.

“Kerja-kerja pemadaman turut dibantu 19 anggota dari balai bomba berhampiran,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.12 pagi.

“Kita melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada elemen bahaya yang lain.

“Operasi diserah kepada pihak pasukan penyiasatan kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BACA: Kanak-Kanak Tiga Tahun Maut Terkena Minyak Panas Makanan Goreng

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah