Siakap Keli
Wanita cedera dirempuh kerbau
Sumber: Sinar Harian

Wanita Cedera, Patah Tulang Kaki Selepas Dirempuh Kerbau Lepas Ikatan

Wanita Cedera, Patah Tulang Kaki Selepas Dirempuh Kerbau Lepas Ikatan

Sebuah detik cemas berlaku di Kampung Rampayan, Manggatal dekat Kota Kinabalu pada Isnin lalu, di mana seekor kerbau yang hendak disembelih sebagai korban terlepas dari tali ikatannya.

Kerbau itu kemudian merempuh penduduk kampung, menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan.

Wanita berusia 40-an mengalami patah tulang kaki kiri dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut selepas kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu.

Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur Rampayan, Ali Osman Ismail berkata, proses penyembelihan ibadah korban melibatkan lima ekor kerbau di kampung tersebut.

“Ketika kejadian, penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih, namun salah satu tali pada kerbau tersebut telah terputus dan menyebabkan ia terlepas.

“Kerbau tersebut berlari dan berpusing di sekitar kawasan sambil merempuh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.

“Seorang penduduk kampung ketika itu mahu menyelamatkan anaknya, namun dia yang dirempuh oleh haiwan tersebut sehingga cedera,” katanya pada Selasa.

Menurut beliau, kejadian itu mengakibatkan penduduk kampung menghubungi pihak ambulans untuk mendapatkan bantuan.

“Selepas diperiksa, mangsa mengalami keretakan pada tulang kaki kiri dan terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kerbau yang terlepas itu bagaimanapun akhirnya berhasil ditangkap semula dan telah selamat disembelih oleh penduduk kampung.

Sebelum itu, tular video menunjukkan kejadian tersebut di mana kerbau terlepas semasa penduduk kampung sedang bersiap sedia untuk ibadah korban di Kampung Rampayan, Manggatal.

Turut tular, seorang mangsa telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans akibat dirempuh kerbau tersebut.

BACA: Tular Video Lembu Korban Terlepas Lari, Sempat ‘Sodok’ Remaja Perempuan

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah