Sokong Atlet Tempatan Ke Sukan Olimpik Paris, Chery Malaysia Tawar Ganjaran Lumayan
Chery Malaysia mengumumkan sokongannya kepada atlet tempatan yang akan beraksi dalam temasya sukan di Paris bulan depan.
Menyedari kerja keras dan dedikasi para atlet dalam latihan untuk menghadapi temasya, Chery Malaysia berbesar hati memberi motivasi buat mereka untuk mencapai kejayaan.
“Kami sedar mereka telah bekerja keras dan berlatih berjam-jam untuk temasya ini. Kami menaruh harapan tinggi agar tahun ini, Malaysia akan meraih pingat emas yang dinanti-nantikan oleh seluruh negara,” kata Presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen.
Justeru itu, bagi menaikkan semangat dan menghargai usaha para atlet, Chery Malaysia menawarkan ganjaran lumayan buat mereka yang memenangi pingat pada temasya kelak.
Dalam satu kenyataan, Chery Malaysia menjanjikan bahawa pemenang Pingat Emas akan diberi ganjaran sebuah Tiggo 8 Pro “seven-seater”, pemenang Pingat Perak akan menerima sebuah Omoda E5 “all-electric”, manakala pemenang Pingat Gangsa akan membawa pulang sebuah Tiggo 7 Pro.
BACA: CHERY Malaysia Melabur Dalam Kilang Pengeluaran Sendiri Untuk Atasi ‘High Demand’
Kerjasama ini diumumkan oleh Chen dalam satu acara yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia, Datuk Stuart Ramalingam, Penyelaras Program Road to Gold, Ying Tongyue, Pengerusi Chery Automobile Co., Ltd, dan Presiden Chery International, Zhang Guibing.
“Kami sangat gembira dengan pengumuman Chery Malaysia untuk memberi ganjaran kepada atlet Malaysia yang beraksi cemerlang dalam Sukan Olimpik di Paris.
“Kami berharap ini akan merangsang para atlet untuk memberikan yang terbaik dan membanggakan negara,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub.
Di peringkat global, Kumpulan Chery menyokong atlet tempatan dari pelbagai negara yang akan bertanding dalam temasya yang akan datang.
Di Malaysia pula, pelbagai aktiviti termasuk pesta menonton telah dianjurkan untuk memberi semangat kepada atlet kita.
“Kepada kontinjen Malaysia, ketahuilah bahawa Chery Malaysia akan menyokong anda dalam setiap langkah,” tambah Leo Chen.
BACA: Bernilai RM15.75 Trilion, Nvidia Atasi Microsoft Jadi Syarikat Paling Berharga Di Dunia
Sumber: Chery Malaysia