Siakap Keli
Berjaya Atasi Microsoft
Kredit: AFP

Bernilai RM15.75 Trilion, Nvidia Atasi Microsoft Jadi Syarikat Paling Berharga Di Dunia

Bernilai RM15.75 Trilion, Nvidia Atasi Microsoft Jadi Syarikat Paling Berharga Di Dunia

Nvidia kini muncul sebagai syarikat paling berharga di dunia selepas harga sahamnya naik ke paras tertinggi sepanjang masa pada Selasa, lapor portal BBC.

Menurut portal berita tersebut, Nvidia mengakhiri sesi dagangan sahamnya hampir pada $136 seunit, iaitu meningkat sebanyak 3.5 peratus sekaligus menjadikan syarikat itu lebih berharga daripada Microsoft.

Dengan peningkatan tersebut, nilai pasaran syarikat tersebut kini mencecah $3.34 trilion (RM15.75 trilion), untuk muncul sebagai syarikat paling berharga di dunia.

Atasi Microsoft, Nvidia jadi syarikat paling berharga di dunia

Sebelum ini, saham Nvidia dilapor meningkat hampir dua kali ganda sejak awal 2024. Peningkatan tersebut amat menakjubkan apabila mengambil kira harga sahamnya lapan tahun lalu hanya bernilai kurang satu peratus daripada nilai semasa.

Selain Microsoft, nilai pasaran Nvidia juga sudah pun berjaya mengatasi Apple pada awal bulan ini.

Kuasai sebahagian besar pasaran cip AI mendorong peningkatan nilai saham

Nvidia menghasilkan cip komputer yang diperlukan oleh perisian kecerdasan buatan (AI).

Dengan berkembang pesatnya teknologi AI ketika ini, permintaan untuk cip komputer Nvidia turut meningkat sekaligus jualan dan keuntungan turut melonjak.

Pada masa yang sama, komuniti pelabur juga yakin bahawa Nvidia mempunyai potensi untuk meraih keuntungan dengan lebih tinggi di masa hadapan.

Keyakinan itu sekali gus yang membuatkan harga sahamnya terus melonjak, walaupun masih ada yang skeptikal dengan penilaian yang diberikan kepada syarikat tersebut.

Persaingan terus menguntungkan Nvidia

Menurut BBC lagi, syarikat-syarikat di serata dunia ketika ini sedang bersaing sengit untuk membangunkan teknologi AI masing-masing.

Syarikat-syarikat seperti Microsoft, Alphabet, Meta dan Apple adalah sebahagian daripada syarikat-syarikat gergasi yang sedang bersaing dalam arena tersebut.

Namun yang menariknya, persaingan ini sebenarnya sangat menguntungkan Nvidia memandangkan syarikat tersebut mendominasi sebahagian besar pasaran cip.

Oleh itu, pelabur percaya nilai saham syarikat itu akan terus melonjak di masa hadapan. Malah angka jualan dan keuntungan semasa Nvidia juga sudah melepasi banyak jangkaan yang dibuat penganalisis sebelum ini.

BACA: Guna Bahan Di Rumah Je, Ini 5 Cara Hilangkan Bau Asap Rokok Dalam Kereta

Sumber: BBC

Athirah

When nothing goes right, go left.