Pejam celik pejam celik, hampir genap lima tahun kita menjalani norma baharu sejak pandemik melanda 2019 yang lepas.
Mengenang kembali zaman pandemik suatu ketika dahulu, masing-masing menyimpan stok penutup muka, pembasmi kuman dan kit ujian kendiri di rumah untuk kegunaan kecemasan. Pun begitu, dengan penurunan kes COVID-19 serta imuniti kelompok yang telah dicapai melalui proses vaksinasi, kita semakin jarang menggunakan barangan tersebut hingga ada antaranya yang telah tamat tempoh.
Soalnya, adakah barangan ini khususnya kit ujian yang tamat tempoh masih boleh digunakan? Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), penggunaan kit ujian yang tamat tempoh boleh memberi keputusan yang tidak tepat. Malah, tiada kelulusan diberikan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi pelanjutan tarikh luput mana-mana kit ujian kendiri COVID-19.

Hidup Normal Bersama Virus COVID-19: Menempuh Fasa Baru dalam Kehidupan Seharian
Biarpun kita sudah melalui fasa hidup bersama virus dan mencapai imuniti kelompok, kita tetap perlu berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan sekaligus melindungi komuniti secara menyeluruh.
Sekiranya mempunyai simptom seperti batuk atau selesema, anda digalakkan untuk memakai penutup muka ketika ke lokasi tumpuan ramai selain kerap membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman.
Selain itu, vaksinasi juga merupakan langkah penting bagi membina daya tahan terhadap virus ini sekaligus mewujudkan persekitaran lebih selamat buat individu yang berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Pengalaman mengajar kita bahawa vaksinasi merupakan langkah pencegahan yang ampuh untuk mengatasi jangkitan seperti COVID-19, campak, batuk kokol, difteria, polio serta banyak lagi jangkitan yang berbahaya.

‘Hidup bersama virus’ juga mengajar kita untuk lebih prihatin terhadap gejala yang sering dianggap ‘biasa’.
Sekiranya anda mengalami batuk, demam atau sebarang gejala, segeralah dapatkan rawatan dan jalani kuarantin (sekiranya perlu) agar tidak mendedahkan risiko kepada orang ramai di sekeliling kita. Biarpun kehidupan kembali seperti biasa, kita tetap perlu berwaspada.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk peka dengan status kesihatan serta berita terkini tentang wabak yang melanda melalui data.moh.gov.my agar sentiasa berjaga-jaga. Andainya kita terleka, bahaya boleh melanda dan kesannya bukan sahaja kepada kesihatan tetapi juga mungkin melibatkan ekonomi semasa.
Oleh itu, kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman pandemik yang lalu dan menggalas tanggungjawab bersama melindungi satu sama lain sama ada melalui vaksinasi, penjagaan kesihatan yang lebih teliti serta kesedaran terhadap kebersihan bagi membendung penularan segala jenis wabak yang berisiko tinggi.
Dengan adanya sikap bertanggungjawab dan kesedaran yang tinggi, kita dapat menempuh fasa baharu dengan lebih yakin dalam berdepan cabaran kesihatan pada masa hadapan.