Peminat England Hairan, Kenapa Southgate Tak Turunkan Cole Palmer
Prestasi England dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan di Euro 2024 mula menuai kritikan daripada peminatnya di seluruh dunia.
Menang tipis 1-0 ketika menentang Serbia dan seri 1-1 dengan Denmark pagi tadi, England kini mengumpul empat mata dan menerajui Kumpulan C.
Begitupun, ramai yang sangsi dengan kemampuan Three Lions untuk mara lebih jauh selepas ini. Malah, kritikan-kritikan pedas mula timbul dan sudah tentu halanya menuju kepada sang pengendali, Gareth Southgate.
Melihat kepada deretan pemain berprofil tinggi yang ada dalam pasukan tersebut, mereka tertanya-tanya sama ada Southgate tahu bagaimana mahu menggunakan ‘ramuan’ yang dia miliki.
Peminat England bingung & tertanya-tanya, kenapa Southgate tak turunkan Cole Palmer
Terbaru, antara kritikan yang timbul apabila peminat melihat Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Inggeris 23/24, Cole Palmer yang hanya memanaskan bangku simpanan setakat ini.
Bagi peminat EPL, mereka sudah pun sedia maklum dengan kebolehan yang ada pada pemain muda tersebut.
Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan Palmer adalah antara pemain terpenting untuk The Blues yang bergelut sepanjang musim lepas.
Menurut sebahagian kritikan yang dilontarkan, kreativiti dan kemampuan menjaringkan gol yang ada pada Palmer adalah apa yang diperlukan oleh England ketika ini.
Jadi mereka menyifatkan tindakan Southgate meletakkan antara pemain dengan sumbangan gol tertinggi dalam musim lepas di bangku simpanan sebagai menghairankan.
Bahkan, persoalan yang sama turut bermain di minda beberapa pemain terkenal yang pernah beraksi di EPL sebelum ini.
Misalnya Cesc Fabregas tertanya-tanya dengan keputusan Southgate memasukkan pemain tengah bertahan ketika mendahului Serbia.
Turut tuai kritikan daripada bekas pemain EPL
“Jika anda memasukkan tambahan pemain yang bermain di bahagian tengah dan pertahanan hanya untuk mempertahan keputusan semasa, para pemain akan dapat merasakan apa yang berlaku.
“Secara mentalitinya, anda akan mula berundur dan bermain perlahan.
“Tetapi jika jurulatih menggantikan pemain di atas padang dengan pemain penyerang, seperti Palmer, dan mengawal bola di atas padang, saya fikir pemain-pemain akan merasa lebih selesa,” katanya.
Selain itu, Jack Wilshere juga berpendapatan sikap positif dan berani yang ada pada Palmer ketika di atas padang juga adalah ‘cetak biru’ yang perlu diterapkan dalam pasukan England.
BACA: NGO Malaysia Bantu Baik Pulih Hospital Al-Shifa Di Gaza
Sumber: The Sun