Siakap Keli
Azharina Azhar kanser
Sumber: Sinar Harian

Azharina Azhar Disahkan Hidap Kanser, Tangguh Pembedahan Kerana Komitmen Kerja

Azharina Azhar Disahkan Hidap Kanser, Tangguh Pembedahan Kerana Komitmen Kerja

Penyanyi, Azharina Azhar, mengesahkan bahawa dirinya telah didiagnosis menghidap kanser, tetapi masih menunggu keputusan laporan kesihatan mengenai jenis kanser yang dihidapinya.

Penyanyi berusia 39 tahun itu juga perlu menjalani dua pembedahan besar minggu depan, namun memutuskan untuk menangguhkannya buat sementara waktu kerana komitmen kerja.

“Setakat ini, saya belum boleh kongsi lagi jenis kanser yang dihidapi. Saya sudah menjalani beberapa ujian dan keputusan dijangka keluar dua minggu lagi.

“Saya juga sepatutnya menjalani pembedahan minggu depan tetapi disebabkan komitmen kerja dan proses pemulihan mengambil masa lama, jadi saya buat keputusan untuk tangguhkan dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya bersama Kozae berjudul Realiti di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur, lapor Sinar Harian.

Masalah kesihatan ganggu aktiviti harian & emosi, tapi Azhari pilih untuk positif

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Elergi Sepi dan Rawan itu, kedua-dua pembedahan yang bakal dilakukan adalah mengikut nasihat doktor.

“Saya dinasihatkan membuat pembedahan bariatrik kerana saya ada masalah kencing manis sejak dua tahun lalu dan saya pula suka makan,” jelasnya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah itu mengakui bahawa masalah kesihatan yang dialami telah mengganggu aktiviti harian dan emosinya, namun beliau memilih untuk berfikiran positif.

Katanya, sebagai manusia biasa, dia juga melalui saat-saat sukar tetapi akan bangkit semula selepas melepaskan perasaan.

“Saya juga insan biasa, kalau sakit tentulah akan menangis. Biasanya saya akan dengar lagu-lagu galau untuk redakan perasaan.

“Tetapi saya selalu ingatkan perlu positif demi anak-anak dan pekerja. Apa pun yang terjadi hidup tetap perlu diteruskan.

“Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” katanya.

Sebelum ini, Azharina mendedahkan bahawa beliau disyaki menghidap kanser dalam sebuah podcast bersama Elly Mazlein baru-baru ini.

Ujarnya, penyakit itu juga memberi kesan pada staminanya serta menyebabkan beliau mudah kepenatan dan mengalami kemurungan.

BACA: Shahril Mokhtar Sah Letak Jawatan Dalam FAM

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah