Siakap Keli
laluan lama melaka johor
Sumber: Facebook Persatuan Kartografi Melaka

Tercatat Dalam Naskhah Kartografi, Laluan Lama Hubungkan Melaka & Johor Dijejaki

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tercatat Dalam Naskhah Kartografi, Laluan Lama Hubungkan Melaka & Johor Dijejaki

Sejarah berkaitan Melaka dan Johor sudah lama terakam semenjak kehadiran Parameswara sebelum kurun ke-15 lagi.

Apabila Parameswara tiba di Semenanjung Tanah Melayu, rombongannya pergi ke Muar, Johor. Namun, disebabkan keadaan yang tidak sesuai, mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di kawasan yang kemudiannya dinamakan Melaka.

Walaupun kewujudan Lebuhraya Utara-Selatan kini menghubungkan Melaka dan Johor, laluan lama yang pernah digunakan oleh pengembara suatu ketika dulu masih dapat ditemui.

Dalam artikel ini, SK kongsikan bersama anda penemuan terbaru mengenai laluan lama yang tercatat di dalam naskhah kartografi berusia 108 tahun oleh Persatuan Kartografi Melaka. Ikuti perkongsian dari Pengerusi merangkap Penyelidik Persatuan Kartografi Melaka, saudara Shahrul Azzim Abd Aziz di bawah.

BACA: “Ada Jeti,” Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Stesen Kereta Api Lama Port Dickson

Jalan Kesana, Laluan Lama Berusia Lebih 108 Tahun

Pasukan penyelidik Persatuan Kartografi Melaka baru-baru ini telah menjejaki sebuah laluan lama berdasarkan naskah kartografi yang bertajuk Map of the Malacca Territory yang diterbitkan pada tahun 1916. Laluan lama yang dinamakan sebagai Jalan Kesana seperti yang tercatat di dalam naskah kartografi yang berusia 108 tahun tersebut menghubungkan antara dua negeri iaitu Melaka dan Johor. Ia juga dikategorikan sebagai “Minor Road” seperti yang tercatat di dalam peta tersebut.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Secara spesifiknya, laluan lama tersebut menghubungkan kawasan di antara Kampung Relau, Asahan yang terletak di dalam daerah Jasin, Melaka dengan Tanah Merah di dalam daerah Tangkak, Johor Darul Ta’zim. Apa yang menariknya di sini ialah permulaan Jalan Kesana ini jika dari Kampung Relau, Asahan adalah terletak di bersebelahan batu sempadan negeri yang telah dibina pada tahun 1899.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Berkemungkinan besar, laluan lama atau Jalan Kesana ini telah wujud sejak ratusan tahun dahulu dan digunakan sebagai jalan penghubung masyarakat lampau untuk menuju ke kawasan sekitar Tangkak di Johor dan juga arah sebaliknya di Asahan, Melaka. Laluan lama yang menjadi salah satu jalan penghubung di antara dua negeri ini juga terletak berhampiran dengan kawasan Gunung Ledang yang sarat dengan sejarah dan legenda dan terkenal sejak dari zaman dahulu lagi.

Gambar: Persatuan Kartografi Melaka
laluan lama melaka johor
Gambar: Persatuan Kartografi Melaka

Melihat perbandingan di antara peta lama yang diterbitkan pada tahun 1916 dengan imej satelit terkini, sebahagian laluan lama tersebut telah menjadi jalan utama kenderaan darat pada masa kini (Laluan di antara kawasan Kampung Bekoh sehingga ke Kampung Payamas yang masing-masing terletak di dalam daerah Tangkak, Johor Darul Ta’zim).

Sumber: Facebook Persatuan Kartografi Melaka, Kerajaan Negeri Melaka

BACA: Dicatat Dalam Naskhah Kartografi Lama, Pengkaji Temui Kewujudan “Railway Turntable” Di Pulau Pinang

BACA: Masih Wujud Sehingga Hari Ini, Peta Tahun 1602 Jadi Bukti Wujud Penempatan Di Kawasan Pantai Melaka

BACA: Bekas Pelajar TVET Mampu Buka Tiga Cawangan Syarikat Fabrikasi & Perpaipan, Gajikan Lebih 80 Orang Staf

Azizah Najib

Menulis tanpa henti