Siakap Keli
Muhammad Danish selamat 20 hari hilang
Sumber: Sinar Harian

Dilaporkan Hilang Dari Asrama, Muhammad Danish Ditemui Selamat Selepas 20 Hari

Dilaporkan Hilang Dari Asrama, Muhammad Danish Ditemui Selamat Selepas 20 Hari

Selepas 20 hari dilaporkan hilang, seorang pelajar Tingkatan Satu dari sebuah sekolah di Rembau, Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam, 13, akhirnya ditemui selamat di Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat.

Anak sulung daripada empat beradik ini kini berada di kediaman keluarganya di Batu Kikir setelah dibawa pulang oleh bapanya kira-kira jam 1 pagi.

Muhammad Addam Wahab, 30, memaklumkan bahawa beliau mendapat maklumat mengenai penemuan anaknya melalui perkongsian di media sosial oleh pemain bola sepak Kuching City, Joseph Kalang Tie.

“Setelah berhubung dengan beliau (Joseph), ternyata remaja itu ialah anak saya dan saya (terus) bergegas ke Kuala Lumpur dari Terengganu mencarinya di kawasan Pudu, Chow Kit serta kawasan sekitar.

“Alhamdulillah kami jumpa Danish di lokasi terakhir iaitu di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau bersyukur kerana Danish berada dalam keadaan sihat walaupun sedikit keliru dan mengambil masa untuk menceritakan sebab dia menghilangkan diri.

“Apa juga alasannya kami berlapang dada malah lega akhirnya Danish pulang ke pangkuan keluarga.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti menyalurkan maklumat mengenai keberadaan Danish,” tambahnya, sambil menjelaskan bahawa beliau pergi ke Terengganu kerana ada dakwaan bahawa Danish berada di sana.

BACA: Polis Minta Bantuan Kesan Pelajar 13 Tahun Hilang Dari Asrama

Rabu lalu, Joseph melalui perkongsian di media sosial memberitahu bahawa beliau terserempak dengan remaja tersebut ketika sedang melakukan senaman pagi bersama rakan sepasukan sebelum warganet kemudian memaklumkan bahawa remaja tersebut adalah individu yang hilang sejak 9 Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, ketika dihubungi pada Ahad, mengesahkan bahawa sepanjang remaja tersebut melarikan diri, dia berada dalam keadaan baik dan tidak dikurung atau dicederakan.

“Semasa berada di Kuala Lumpur iaitu sekitar Dataran Merdeka, remaja hilang ini memaklumkan mahu mencari kerja dan bertemu dengan seorang lelaki lalu diberi pekerjaan menjual kek.

“Bagaimanapun kira-kira jam 1 pagi, remaja tersebut dibawa ke Dataran Merdeka sebaik mengetahui bapanya sedang mencarinya dan telah diserahkan kepada bapanya itu.

“Ayahnya akan pindahkan remaja itu ke sekolah berhampiran rumahnya di Jempol,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Muhammad Danish disedari hilang oleh warden sekolah kira-kira jam 11 malam selepas didapati tiada semasa sesi panggilan nama pelajar asrama.

BACA: Sebuah Blok Sekolah Musnah Akibat Kebakaran

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah