Siakap Keli
Suspek Pecah Rumah Khuzaimi
Gambar: Ig Khuzaimi Piee & BERNAMA

Dua Suspek Kes Pecah Rumah Khuzaimi Piee Ditahan

Dua Suspek Kes Pecah Rumah Khuzaimi Piee Ditahan

SHAH ALAM — Dua suspek berhubung kes pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee pada Mei lalu berjaya ditangkap selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Marang pada Rabu, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 23 dan 28 tahun.

“Pemeriksaan susulan yang dijalankan kemudiannya menemukan pelbagai barangan dan peralatan dipercayai untuk digunakan bagi menjalankan kegiatan jenayah.

“Antara dirampas adalah tujuh telefon bimbit, 17 utas jam tangan pelbagai jenama, lima bentuk cincin, sebuah komputer riba, dua buah mesin pelbagai guna, satu set komponen motosikal, sepana, pisau dan beberapa barangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada hari ini.

Penahanan kedua-dua suspek turut merungkai kegiatan samun dan pecah rumah di beberapa buah negeri selepas siasatan dijalankan.

“Semakan mendapati selain kejadian pecah rumah rumah pemain pertahanan Selangor FC itu, suspek turut terlibat sembilan kes lain termasuk melarikan kenderaan dan samun.

“Antaranya melibatkan dua kes di Selangor, Terengganu (tiga), Pahang (dua) dan Melaka,” ujarnya.

Dalam pada itu, semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

BACA: Lima Pelajar Sekolah Menengah Di Kelantan Dijangkiti Tifoid

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek ini bergerak secara mobil dan tidak statik berada di satu-satu tempat, kedua mereka dipercayai akan berada di lokasi-lokasi yang berlainan selepas melakukan kegiatan jenayah.

“Selain itu, dua suspek ini turut dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun, dan kita telah menjejaki kedua suspek ini dan seterusnya menjalankan tangkapan ke atas mereka,” maklumnya lagi.

Walau bagaimanapun, Hussein berkata penahanan dua suspek terbabit tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana insiden melibatkan pemain bola sepak lain.

“Kedua-dua suspek ini kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Khuzaimi melaporkan kediamannya telah dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor pada 22 Mei lalu.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: PBSI Mohon Maaf Kematian Zhang Zhi Jie, Tanggung Kos Penghantaran Pulang Jenazah

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"