Siakap Keli
Taiwan mesra muslim

Kenapa Taiwan Jadi Negara Ketiga Mesra Pelancong Muslim?

Kenapa Taiwan Jadi Negara Ketiga Mesra Pelancong Muslim?

Tahukah anda, pada tahun 2023 Taiwan menduduki tangga ketiga sebagai negara Mesra Muslim dalam Global Muslim Travel Index (kategori bukan negara anggota OIC). Baru-baru ini, Taiwan Tourism di Malaysia menjemput beberapa orang media untuk merasai pengalaman melancong di Taiwan dengan konsep Salam Taiwan.

Lawatan media ini diuruskan oleh Hexa Comms untuk memperkenalkan kepada kami kenapa Taiwan boleh menjadi sebuah negara yang sesuai dilawati oleh umat Islam. Dalam artikel ini saya akan menceritakan pengalaman saya berada di Taiwan sebagai pelancong muslim selama 6 hari.

Taiwan mesra muslim

Hotel Mesra Muslim

Sepanjang 6 hari di sana, kami menginap di 3 hotel berbeza. Malam pertama di Century Hotel, Taoyuan. Kemudian berpindah ke Evergreen Laurel Hotel di Taichung dan yang terakhir Amba Hotel di Ximending. Apa yang menariknya, kesemua hotel ini adalah mesra muslim.

Semua hotel dah ada sediakan sejadah dan penunjuk arah kiblat. Tandasnya juga disediakan bidet untuk bersuci. Untuk Amba Hotel pula siap ada sediakan kitab Al-Quran lagi.

Secara keseluruhan bagi saya, kebanyakan hotel di Taiwan sudah sesuai untuk pelancong muslim menginap sepanjang melancong di Taiwan. Boleh pilih mana-mana hotel yang anda mahu di laman ini Taiwan Muslim Tourism.

Restoran Mesra Muslim dan Sijil Halal

Sepanjang berada disana, kami dibawa ke restoran-restoran mesra muslim dan restoran yang sudah pun mendapat sijil halal dari pihak berkuasa. Antara restoran yang sudah mendapat sijil halal adalah Halal Endu Dumpling House, Halal Chinese Beef Noodles dan Moiz Ali.

Bukan sahaja restoran makanan cina, malah banyak restoran makanan arab, pakistan dan negara lain yang didapati dengan sijil halal atau mesra muslim.

Ada perbezaan restoran sijil halal dengan restoran mesra muslim. Restoran yang ada sijil halal sudah mendapat pengiktirafan dari badan berkuasa dan pemiliknya juga seorang muslim.

Taiwan mesra muslim

Restoran mesra muslim pula, pemiliknya mungkin bukan muslim tapi tidak menyediakan menu tidak halal seperti daging babi, arak dan sebagainya.

Hotel-hotel terkemuka di Taiwan juga sudah ada sediakan seksyen makanan halal seperti di Hotel Laurel Evergreen. Pinggan, sudu, garpu dan cawan juga disediakan khas untuk muslim sahaja.

Secara keseluruhan, tiada masalah pun untuk mendapatkan makanan halal di Taiwan. Malah di pasar-pasar malam jug ada peniaga yang menyediakan menu halal seperti samosa, dumpling dan sebagainya.

Senarai Restoran yang Kami Kunjungi

  • Chensveg (Restoran Vegetarian)
  • Halal Ende Yuan Dumpling House
  • Miyahara (Ice Cream Shop)
  • Halal Chinese Beef Noodles
  • Moiz Ali
  • Jimbo Fried Chicken

Ruang Solat, Surau dan Masjid

Salah satu cabang untuk jadikan sesebuah pusat pelancongan itu mesra muslim adalah ruang solat, surau atau berdekatan dengan masjid.

Apa yang saya boleh katakan, di tempat-tempat tumpuan yang saya pergi, ada yang sudah sediakan ruang solat seperti di lapangan terbang, Taipei 101 dan beberapa tempat lagi.

Kami sempat dibawa menunaikan solat jumaat di Taipei Grand Mosque dan pengalaman solat jumaat disana seakan sama di Malaysia. Jemaah yang hadir pun ramai dari negara luar termasuk jemaah dari Malaysia dan Indonesia.

Taiwan mesra muslim

Taiwan juga memiliki beberapa Masjid utama iaitu Taipei Grand Mosque di Taipei, Taichung Mosque di bandar Taichung, Taipei Cultural Mosque juga di Taipei dan At-Taqwa Mosque di bandar Taoyuan.

Ini menunjukkan masjid di Taiwan telah lama bertapak di bandar-bandar utama untuk memudahkan urusan ibadah pelancong muslim disana. Khutbah jumaat juga disampaikan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tiga elemen di atas adalah elemen penting untuk menjadikan sebuah pusat pelancongan mesra muslim. Taiwan serius membangunkan ekosistem pelancongan untuk muslim dengan lebih baik lagi di masa akan datang.

Mungkin lagi 5 atau 7 tahun lagi, lebih mudah untuk solat, makan makanan halal dan menginap di hotel yang mesra muslim di negara Taiwan ini. Untuk maklumat lanjut boleh layari Taiwan Tourism.

Terima kasih kepada Hexa Comms dan Taiwan Tourism di Malaysia kerana sudi menjemput Siakap Keli menyertai trip kali ini.

 

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)