Siakap Keli
pakaian rasmi olimpik
Kredit: Majlis Olimpik Malaysia

MOM Dedah Rekaan Baharu Pakaian Rasmi Olimpik Malaysia, Corak Harimau Lebih Garang

MOM Dedah Rekaan Baharu Pakaian Rasmi Olimpik, Corak Harimau Lebih Garang

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mendedahkan reka bentuk baharu pakaian rasmi yang akan dipakai Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris nanti.

Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya telah memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi tersebut.

“Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket,” kata Norza dalam satu kenyataan media.

Manakala, logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima Gegelung Olimpik berbanding logo berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

MOM dedah rekaan baharu pakaian rasmi Kontijen Malaysia di Olimpik

Tambah Norza, rekaan corak baharu ini dirasakan dapat melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Sukan SEA di Manila pada 2005.

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti

“Seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan,” katanya.

Pada masa yang sama, MOM juga berharap corak dan motif lebih terang ini turut dapat melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara.

Corak dan motif yang sama untuk kemeja T berkolar emas

Bagi kemeja T berkolar berwarna emas, MOM masih mengekalkan corak dan motif yang sama. Tetapi lakaran logo MOM akan menggunakan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

Bagaimanapun, disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses kelulusan di antara mereka dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu

“Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,” katanya lagi.

Norza seterusnya juga berharap rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara yang bakal bertanding nanti.

BACA: Minimalis Tetapi Bergaya, Baju Sukarelawan Olimpik Paris Dapat Pujian Ramai

Sumber: Majlis Olimpik Malaysia

Athirah

When nothing goes right, go left.