Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Penurunan kes Diesel Selepas Penyasaran Subsidi

Nurul Naqiyah
penurunan kes diesel
Sumber : BERNAMA

Penurunan kes Diesel Selepas Penyasaran Subsidi

PUTRAJAYA, 4 JULAI 2024 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan terhadap aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi, khususnya minyak diesel dan petrol RON95, di seluruh negara selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula pada 10 Jun 2024.

Berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, jumlah kes penyelewengan minyak diesel telah menunjukkan penurunan yang ketara.

Dalam tempoh 20 Mei 2024 hingga 9 Jun 2024, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter. Namun, bagi tempoh 10 Jun 2024 hingga 30 Jun 2024, iaitu 20 hari selepas pelaksanaan penyasaran subsidi, statistik menunjukkan penurunan drastik dengan hanya 14 kes direkodkan di seluruh negara, melibatkan rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

Perbandingan ini menunjukkan penurunan rampasan diesel sebanyak 87% selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Jumlah individu yang ditahan berkaitan kes diesel juga berkurang dalam tempoh yang sama, daripada 40 orang kepada hanya seorang sahaja.

Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan bagi kes yang melibatkan rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes dengan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei 2024 sehingga 9 Jun 2024, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Jumlah tangkapan pula telah meningkat daripada 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh yang sama.

KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah OPS TIRIS 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan.