Siakap Keli
motosikal digilis lori treler
Sumber: Astro Awani

Penunggang Motosikal Maut Digilis Lori Treler Semasa Cubaan Memotong

Penunggang Motosikal Maut Digilis Lori Treler Semasa Cubaan Memotong

Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 161.4, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Bandar Casia, Pulau Pinang, pada petang Isnin.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.45 petang itu, mangsa, Amiruddin Ghazali, 38, yang berasal dari Kampung Lubuk Kawah, Jitra, Kedah, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di tubuh.

Menurut sumber polis, kemalangan tersebut dilaporkan pada jam 7 malam.

Hasil siasatan mendapati bahawa mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R25 dipercayai cuba memotong sebuah lori treler, tetapi bergesel dengan lori lain yang berada di laluan sama.

Akibatnya, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum digilis oleh lori treler yang cuba dipotongnya.

“Mangsa disyaki cuba memotong lori treler di lokasi kemalangan lalu bergesel dengan sebuah lagi lori treler menyebabkan mangsa terbabas lalu digilis lori treler (yang cuba dipotong).

“Mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 53 tahun tidak mengalami kecederaan,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, siasatan di lokasi kejadian mendapati bahawa kemalangan tersebut berlaku di jalan yang lurus dan kering, dengan keadaan cuaca yang baik.

“Kawasan kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), justeru pihak polis meminta saksi awam yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi maklumat berhubung kemalangan tersebut,” kata sumber itu lagi.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BACA: Kanak-Kanak 5 Tahun Maut Kemalangan Semasa Tunggang Basikal

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah