Seorang Suspek Maut, Dua Polis Parah Selepas Kenderaan Masuk Parit
MUAR — Seorang suspek maut manakala dua anggota polis cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan memasuki parit di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, Parit Jawa, Muar hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asistan Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian lebih kurang jam 5 pagi.
Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku lebih kurang jam 4.00 pagi semasa dua anggota polis sedang melakukan rondaan di pekan Parit Jawa. Ketika rondaan itu, ,mereka telah menahan kereta yang dipandu suspek untuk tujuan pemeriksaan.
“Setelah menyedari kehadiran polis, suspek yang memandu kenderaan jenis Toyota Vios telah melarikan diri dan terus memecut laju ke arah Parit Jamil.
“MPV polis telah membunyikan siren dan memberikan isyarat supaya suspek memberhentikan kereta namun suspek enggan berbuat demikian untuk mengelak dari ditahan pihak polis.
“Semasa usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan telah terbabas dan masuk ke dalam parit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Kereta Polis Bantuan Dibaling “Molotov Cocktail”
Tambah Raiz, kereta yang dipandu oleh suspek telah terbakar hingga menyebabkan suspek maut. Mayat suspek kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk proses bedah siasat dan menjalankan ujian DNA bagi mengesahkan identiti sebenar suspek.
Sementara kedua-dua anggota polis turut mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.
Berikutan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (APJ) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk tampil dalam membantu siasatan pihak polis.
“Pihak polis menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya lagi.
Sumber: Polis Daerah Muar