Jururawat Tempatan ‘Lari’ Ke Luar Negara Jadi Punca Lantikan Kontrak Jururawat Asing?
Ditawarkan dengan gaji yang tinggi dan lumayan, ribuan jururawat terlatih di negara kita memilih untuk berkhidmat di luar negara. Ada yang ke Arab Saudi mahupun Qatar demi mendapatkan bayaran hingga ada yang mencecah RM20 ribu sebulan.
Tahun demi tahun, trend ini memberi impak yang negatif kepada sistem kesihatan tempatan di mana negara kita menghadapi masalah kekurangan jururawat terlatih. Malah, menurut Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, terdapat 6,000 kekosongan jawatan jururawat di kementerian tersebut setakat Jun tahun ini.
PERKESO Bekerjasama Dengan Majikan, Perkasa Pengambilan Bakat Tempatan
Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini bekerjasama dengan semua hospital swasta bagi memastikan semua jururawat tempatan mendapat penempatan di fasiliti perubatan terlibat.

PERKESO mengiklankan jawatan diperlukan setiap hospital terlibat selain menapis calon-calon jururawat yang berdaftar di portal MyFutureJobs serta mengadakan karnival kerjaya dan temu duga terbuka.
Malah, PERKESO sentiasa mengutamakan bakat-bakat tempatan dalam mengisi kekosongan jawatan tersebut demi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan di Malaysia.
Bagi merealisasikan matlamat ini, PERKESO telah bekerjasama dengan majikan industri kesihatan tempatan antaranya IHH Healthcare Malaysia bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta menyahut seruan kerajaan memperkasa perkhidmatan jururawat tempatan.
Ujar Ketua Jabatan Sumber Manusia IHH Healthcare Malaysia, Ahmad Shahrin Mohamad Nor, mereka telah mengambil kumpulan pertama jururawat asing secara kontrak, namun prioriti tetap diberikan kepada tenaga kerja tempatan.
“IHH Healthcare Malaysia telah menerima kumpulan pertama jururawat terlatih asing pada 2 Julai lalu dan jururawat asing ini adalah pengambilan secara kontrak selama dua tahun bagi mengimbangi masalah kekurangan jururawat terlatih di hospital milik IHH di Malaysia buat sementara waktu.
“Walaubagaimanapun, jururawat tempatan kekal menjadi prioriti sekali gus bergerak sebagai tulang belakang operasi hospital di bawah IHH manakala jururawat terlatih asing akan menjadi pelengkap kepada operasinya di Malaysia dengan nisbah 90 peratus jururawat tempatan dan 10 peratus jururawat asing,” jelasnya.

Tambah beliau, imbuhan gaji buat para jururawat juga adalah setara dengan pengalaman mereka. Pihak IHH juga komited untuk menempatkan 100 peratus jururawat terlatih tempatan secara konsisten dengan kerjasama PERKESO yang disifatkan sebagai kolaborasi yang cekap dan berkesan bagi membantu penempatan jururawat berpengalaman di fasiliti perubatan dalam negara.
“Majikan lain sewajarnya bekerjasama dengan PERKESO sekiranya ingin menawarkan peluang pekerjaan dan menambah tenaga kerja memandangkan perkhidmatan diberikan oleh PERKESO menerusi platform portal pekerjaan nasional MYFuturejobs yang menyediakan platform pencarian pekerjaan melalui kerjasama bersama rakan strategik serta agensi pekerjaan swasta di Malaysia dilaksanakan secara percuma,” katanya.