Polis Bantuan Tumbuk Isteri Dihukum Penjara Dan Denda
Akibat daripada menumbuk isterinya disebabkan pertikaian mengenai wang gaji, seorang polis bantuan telah dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu serta denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, pada Rabu.
Majistret Khairunnisak Hassni telah menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 48 tahun itu mengaku bersalah kerana telah memukul isterinya yang bekerja sebagai kerani, minggu lalu.
Majistret Khairunnisak juga mengarahkan bahawa tertuduh akan dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 45 tahun, di rumah mereka yang terletak di Taman Paya Rumput Indah, pada kira-kira jam 7.30 malam, 12 Julai yang lalu.
Pendakwaan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku apabila pengadu, yang merupakan isteri tertuduh, berada di rumah dan terjadi perselisihan faham antara mereka.
Pertikaian ini berpunca daripada penggunaan wang gaji pengadu yang bekerja sebagai kerani.
Tertuduh kemudian bertindak menumbuk muka pengadu sehingga menyebabkan kecederaan dan pengadu terpaksa mendapatkan rawatan di bahagian Kecemasan Hospital Melaka.
Polis bantuan tumbuk isteri, bukan kejadian pertama kali
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar, memohon agar hukuman yang lebih berat dikenakan memandangkan tertuduh dan mangsa adalah pasangan suami isteri.
Selain itu, keterangan saksi juga menunjukkan bahawa ini bukan kejadian pertama yang dihadapi oleh mangsa.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan bahawa dia menginsafi kesalahan yang dilakukan dan ianya berpunca daripada sikap cemburunya. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak sanggup hidup tanpa isterinya.
Mahkamah akhirnya memutuskan untuk mengenakan hukuman penjara selama dua minggu dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 13 Julai yang lalu.
BACA: Pemandu e-Hailing Dilapor Hilang Sejak Khamis Lalu, Dipercayai Selepas Hantar Penumpang
BACA: Enam Ditemukan Maut Di Bilik Hotel Disyaki Akibat Keracunan, PM Thailand Arah Siasatan
BACA: Keputusan Ujian Covid-19 Tidak Perlu Lagi Dimuat Naik Ke MySejahtera – KKM
Sumber: Sinar Harian