Siakap Keli
Kredit: DNB / Freepik

Peralihan Ke ‘5G Dual Network’ Telah Bermula, Ini Manfaat Bakal Pengguna & Peniaga Nikmati

Mana rangkaian kedua 5G yang dijanjikan itu? Kecoh juga dimana-mana sebelum ini apabila ada segelintir yang mempersoalkan “petunjuk” kehadiran rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Sebelum ini, pasti ada antara pengguna 5G yang pernah mengalami masalah mendapatkan liputan di dalam pusat membeli-belah, hingga kadang-kadang signal 5G hampir tiada. Hal ini membuatkan perjalanan transaksi serta penggunaan harian seperti pembayaran eWallet sukar untuk dilaksanakan.

Dikatakan, kekuatan 5G terletak pada isyaratnya. Julat frekuensi yang tinggi membuatkan liputannya mampu menembusi halangan seperti bangunan dan pokok.

Liputan 5G di kawasan berpenduduk kini 81.7 peratus

Terbaru, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa, capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk negara kini sudah mencapai tahap 81.7 peratus, dengan siapnya 7,114 tapak 5G di seluruh negara setakat ini.

Ini adalah berita baik kepada seluruh rakyat Malaysia kerana akan dapat menyaksikan pecutan dalam pekerjaan baharu dengan kemajuan rangkaian, ditambah dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta realiti tambahan (AR) baharu, khususnya dalam sektor pendidikan, pertanian dan pembuatan.

Malaysia sedia laksana rangkaian 5G kedua

Pada 18 Jun lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa Malaysia bersedia melaksanakan rangkaian kedua 5G demi memastikan kemampanan ekosistem telekomunikasi dengan matlamat mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi serta kualiti hidup rakyat.

Dalam masa sama, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memulakan proses penentuan dan pelantikan syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) bagi membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Kredit: Bernama

Proses pembukaan tender telah bermula pada 1 Julai lalu terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sudahpun melengkapkan proses perjanjian langganan saham (SSA) untuk pemilikan ekuiti 70 peratus syarikat DNB, yang terdiri daripada CelcomDigi, U Mobile, Maxis, Telekom Malaysia dan YTL Communications.

Proses tender ini dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum diketahui syarikat-syarikat telekomunikasi yang manakah akan terpilih mengambil bahagian dalam pembangunan rangkaian 5G kedua.

Menurut Fahmi Fadzil, beliau menjangkakan pengumuman penglibatan syarikat-syarikat telekomunikasi terpilih akan diketahui sekitar penghujung suku ketiga atau awal suku keempat kelak.

Beliau juga memberitahu bahawa pembangunan rangkaian kedua ini dijangka menamatkan sebarang unsur monopoli perkhidmatan 5G.

Kadar penggunaan 5G di Malaysia mula meningkat, dijamin tiada kos tambahan

Gambar hiasan. (Kredit: Freepik)

Dalam satu laporan menunjukkan kadar penggunaan 5G di Malaysia kini telah meningkat kepada 39.2 peratus pada April 2024 berbanding 12 hingga 15 peratus yang dicatatkan pada November 2023. Kenaikan peratusan ini menunjukkan rakyat Malaysia mula memperlihatkan manfaat pengambilannya, apatah lagi apabila rangkaian kedua diumumkan, malah, sehingga Jun 2024, sebanyak 14,812,381 langganan 5G telah direkodkan.

Pemerkasaan 5G daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian ini dikatakan mampu meningkatkan kadar penggunaan teknologi internet dalam kalangan pengguna. Tambahan pula, Kementerian Komunikasi juga memberi jaminan bahawa pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang terlibat dalam rangkaian kedua 5G tidak akan mengenakan sebarang kenaikan kos kepada pengguna.

Pengguna, perniagaan dapat manfaat

Dwirangkaian in pastinya bakal memberikan lebih banyak kebaikan kepada rakyat dan perniagaan. Ia tidak akan memberi kesan yang negatif kepada pengguna 5G sedia ada, malah akan terus menikmati perkhidmatan langganan melalui penyedia perkhidmatan masing-masing.

Selain mengelakkan daripada aspek harga dan perkhidmatan dimonopoli oleh hanya satu syarikat, pengguna dan perniagaan kelak mempunyai pilihan yang boleh disesuaikan dengan kehendak masing-masing.

Pengguna juga tidak perlu bergantung kepada hanya satu pembekal sahaja termasuklah aspek kerahsiaan data. Persaingan yang sihat antara dua rangkaian juga mampu meningkatkan mutu perkhidmatan dengan lebih baik.

Dalam hal ini, kerajaan pastinya telah membuat penelitian daripada pelbagai sudut dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama dalam menentukan hala tuju pelaksanaan 5G negara.

Maka dapatlah disimpulkan bahawa, rangkaian kedua ini bakal menjadikan komunikasi mudah alih lebih berinovasi di samping mewujudkan industri baharu yang membawa manfaat besar kepada keseluruhan ekonomi negara.

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.