Majlis Perasmian Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara Tronoh, Perak
TRONOH, 23 JULAI 2024 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjunjung kasih setinggi-tingginya kehadapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara, Tronoh, Perak. Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Majlis berlangsung dengan penuh istiadat dan protokol bermula pada pukul 10.30 pagi sebaik keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika berucap memaklumkan bahawa antara fokus kementerian merangkumi keperluan bagi penambahbaikan infrastruktur kebombaan termasuk pusat-pusat latihan atau akademi bomba dan penyelamat.
Ia adalah bagi memastikan program latihan dasar dan pembangunan sumber manusia Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melahirkan pegawai-pegawai bomba yang berilmu dan berkemahiran.
“Tugas sebagai anggota penyelamat bukanlah tugas yang boleh dipandang ringan kerana ia merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang disertai dengan risiko dan bahaya atau hazards yang sangat tinggi.
“Justeru, pembangunan modul latihan dan program pemantapan kemahiran dan kompetensi adalah merupakan satu komponen utama yang amat dititikberatkan,” katanya.
Sebaik Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan gimik perasmian, para hadirin seterusnya dipersembahkan dengan persembahan operasi penyelamatan Road Traffic Accident (RTA) dan operasi mencari dan menyelamat di air oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB).
Persembahan operasi kebombaan ini mempamerkan kemampuan pasukan khas serta aset jabatan yang sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga untuk digunakan dalam keadaan penyelamatan tertentu.
ABPM Wilayah Utara dibina di atas tanah berkeluasan 111 ekar lengkap dengan blok pentadbiran, bilik kuliah, padang kawad, garaj kenderaan, blok asrama, dewan makan serta surau dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM40 juta.
Akademi ini siap dibina pada tahun 2014 dan telah beroperasi sepenuhnya dengan kekuatan kakitangan seramai 50 orang pegawai diketuai seorang Komandan.
Kini, ABPM Wilayah Utara dilengkapi fasiliti seperti simulator Compartment Fire Behaviour Training (CFBT), Breathing Apparatus Training Gallery (BATG), Rel Keretapi dan Simulator Gas Spill.
Akademi ini turut menawarkan latihan penyelamatan di air seperti kursus pengendalian bot dan pemantapan latihan bagi pasukan khas Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dengan memanfaatkan kemudahan lombong sedia ada di sini.
Turut berangkat bercemar duli ke majlis perasmian hari ini adalah Duli Yang Amat Mulia, Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YBhg. Datuk Wira M. Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan YB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.