Amanahraya ‘CARE’ Santuni Komuniti Dengan Sumbangan Peralatan RM 100,000.00 Dan Aktiviti CSR
Bagan Serai, 31 Julai 2024 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melalui Yayasan AmanahRaya dan anak syarikatnya AmanahRaya Trustees Berhad, AmanahRaya Investment Management Sdn.Bhd dan AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. hari ini telah menganjurkan Program CSR ‘Jom Pakat Pi Bendang’ dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang.
Program yang memfokuskan kepada golongan petani ini merupakan salah satu komitmen dan tanda sokongan Kumpulan AmanahRaya terhadap inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melengkapi aktiviti CSR yang telah dilaksanakan sebelum ini yang melibatkan pelbagai golongan seperti pelajar, belia, warga emas meliputi bidang pendidikan, penjagaan alam sekitar dan juga eko marin.
Pengerusi Amanah Raya Berhad, Yang Berbahagia Tan Sri Idrus Bin Harun dalam kenyataannya berkata ‘usaha murni ini diadakan bagi memastikan kelestarian aktiviti pertanian dan pemerkasaan kebajikan pesawah dapat dikekalkan.
Kumpulan AmanahRaya telah sepakat untuk memberikan sumbangan yang berupa peralatan yang dapat membantu aktiviti penanaman padi kepada enam puluh (60) orang pesawah seperti pam air mudah alih, mesin pemotong rumput, rumah burung hantu juga input pertanian dalam bentuk baja dan racun rumpai!’
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar dalam ucapan aluannya berkata, ‘program ini diharapkan akan menyuntik semangat khususnya kepada para petani dan peladang di negeri ini untuk terus memainkan peranan yang proaktif dalam merencanakan industri pertanian dan agromakanan.
Selaras dengan hasrat membangun Malaysia MADANI, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan tahap keterjaminan makanan negara selaras dengan konsep, Food Security is a Shared Responsibility.’
Selain itu juga, beberapa aktiviti lain juga turut dilaksanakan bagi memupuk nilai murni dalam kalangan sukarelawan Kumpulan AmanahRaya.
Antara aktiviti tersebut adalah gotong-royong pembersihan batas sawah dan kawasan tali air, penyediaan juadah tradisional masyarakat Banjar, iaitu Wadai Kipeng dan sebagainya. Turut diadakan juga permainan sukan rakyat antaranya ‘tepuk bantal’ ‘kejar itik’ dan ‘panjat tiang pinang’ bersama komuniti Parit Haji Ali (B).
Turut hadir dalam program ini ialah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang YBhg.
Dato’ Wira Haji Mahfuz bin Haji Omar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang, YBrs Encik Nik Shaharil bin Nik Md Hashim bersama lebih tiga ratus (300) orang yang terdiri daripada Pengurusan Kanan, Pegawai Kumpulan AmanahRaya, Pengurusan Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Unit Peladang Parit Haji Ali (B) serta komuniti Alor Pongsu.