15 Tahun Berkuasa, PM Bangladesh Letak Jawatan & Larikan Diri Ke Luar Negara
Krisis di Bangladesh tiba ke kemuncaknya apabila Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang memegang tampuk pemerintahan selama 15 tahun dilaporkan telah meletak jawatan dan dipercayai lari ke luar negara, lapor AFP.
Hasina telah berusaha untuk ‘memadamkan’ bantahan di seluruh negara terhadap kerajaannya sejak awal Julai lalu namun ia tidak berjaya, malah rusuhan di negara itu juga telah mengakibatkan hampir 100 orang terbunuh.
Ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengesahkan dalam satu siaran televisyen bahawa Hasina telah meletak jawatan dan tentera akan membentuk kerajaan sementara.

“Negara telah banyak menderita, ekonomi terjejas dan ramai yang telah terbunuh, sudah tiba masanya untuk menghentikan keganasan,” kata Waker.
Hasina, 76, telah melarikan diri dari negara itu dengan menaiki helikopter. Media di negara jiran iaitu India melaporkan bahawa Hasina telah mendarat di pangkalan udara tentera berhampiran New Delhi.
PM Bangladesh letak jawatan
Sumber peringkat atasan berkata Hasina mahu berpindah ke London, tetapi gesaan oleh kerajaan Britain untuk siasatan yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas tahap keganasan yang pernah berlaku sebelum ini seakan menutup peluang untuknya.
Dalam pada itu, pengumuman mengenai kejatuhan pemerintahan Hasina disambut meriah oleh orang ramai. Menurut AFP, jutaan warga Bangladesh turun ke jalan di seluruh negara dan mengibarkan bendera serta menari di atas kereta kebal sebelum ribuan menerobos masuk ke pintu pagar kediaman Hasina.
Manakala sebahagian yang lain pula menyerbu parlimen.

Saluran 24 Bangladesh menyiarkan rakaman orang ramai berlari ke perkarangan kediaman perdana menteri, tersenyum dan melambai ke arah kamera, merompak perabot dan buku serta berehat di atas katil.
Saksi kepada AFP juga memaklumkan perusuh turut menyerbu dan menggeledah rumah sekutu parti Liga Awami Hasina serta balai polis.
BACA: Protes Anti Kuota Di Bangladesh, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?
Dalam masa sama, ada juga yang membakar stesen televisyen yang menyokong pemerintahan Hasina, menghancurkan patung bapanya, Sheikh Mujibur Rahman dan membakar muzium yang didedikasikan untuknya.

“Masanya telah tiba untuk membuat mereka bertanggungjawab atas segala penyeksaan. Sheikh Hasina bertanggungjawab atas pembunuhan,” kata salah seorang penunjuk perasaan.
Sementara itu, pihak tentera berkata mereka akan membatalkan perintah berkurung pada pagi Selasa dan perniagaan serta sekolah akan dibuka semula.
Imbas kembali, negara tersebut berada dalam keadaan huru-hara apabila protes terhadap skim kuota yang diadakan sejak awal Julai lalu menyebabkan ramai terkorban termasuk pegawai polis.
Protes yang pada awalnya dimulakan oleh pelajar universiti itu menyaksikan ia turut disertai oleh pelajar sekolah serta orang awam termasuk peniaga.
Sumber: AFP