Siakap Keli
Gambar: Sinar Harian

Sangka Kena Curi, Rupanya Kucing Kesayangan Dilarikan Harimau Akar

Sangka Kena Curi, Rupanya Kucing Kesayangan Dilarikan Harimau Akar

Seorang wanita terkejut selepas mendapati kucing kesayangan yang disangka hilang sebelum ini rupa-rupanya dibaham oleh harimau akar.

Menurut Sinar Harian, kejadian yang berlaku di Kampung Tersusun Salak, Salak Baru di Sungai Siput disedari selepas pemilik, Nurul Balqis Musa, 30, memeriksa CCTV.

Balqis berkata, kucing betina bernama Petra tersebut yang berusia empat tahun itu hilang selama dua hari.

“Jiran ada beritahu tiga kucingnya turut hilang menyebabkan kami terdetik untuk tengok CCTV kerana bimbang diambil orang.

“Melihat rakaman itu, barulah teringat ketika kejadian ibu ada terdengar Petra jerit kuat sekitar jam 3 pagi. Apabila buka pintu belakang Petra sudah hilang,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Harimau akar larikan kucing kesayangan, berjaya dirakam CCTV

Kata Balqis lagi, mereka tidak menyangka harimau akar itu mampu melarikan Petra kerana kucing itu mempunyai berat sehingga 8 kilogram.

“Sehingga kini, ibu tidak sanggup melihat rakaman itu kerana terlampau sedih. Walaupun kami pelihara lapan kucing lain, Petra sangat istimewa.

“Kami pelihara sejak kecil dan Petra kucing yang manja malah tidur sekali. Kalau saya memandu, Petra akan duduk di riba menemani sepanjang perjalanan ke Ipoh atau Sungai Siput,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Balqis memberitahu penduduk di kawasan itu kini lebih berwaspada selepas menyedari kehadiran haiwan pemangsa itu.

“Lapan kucing peliharaan kami kini ditempatkan dalam rumah, tidak lagi dibiarkan bermain di halaman kerana bimbang dibaham lagi.

“Video itu saya muat naik di Facebook sebagai peringatan kepada ibu bapa agar dapat menjaga keselamatan anak-anak mereka dan tidak lagi bermain di anak sungai kawasan tersebut,” kata Balqis.

Perhilitan sudah terima aduan

Menurut Sinar Harian, harimau akar atau harimau dahan dewasa itu dianggarkan mempunyai berat kira-kira 15 kilogram dan dipercayai dari Hutan Simpan Kledang Saiong.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff turut mengesahkan pihaknya telah menerima aduan tersebut.

“Kakitangan Perhilitan sudah pergi ke lokasi kejadian untuk siasatan dan bercadang untuk memasang perangkap di kawasan tersebut.

“Kita juga menasihatkan penduduk supaya mengurung semua binatang ternakan atau peliharaan lain, jika ada,” kata Yusoff.

BACA: JPJ Laksana Penggantian Kamera AwAS Selari Perubahan Teknologi

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.