Rangkuman Kontinjen Malaysia Sepanjang Olimpik Paris 2024
Tanggal 11 Ogos menjadi saksi kepada Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai sejak 26 Julai lalu.
Pelbagai asam garam, drama, momen dan rekod baharu berjaya diciptakan dalam temasya edisi ke-30 kali ini oleh negara terlibat termasuk 26 atlet negara yang membawa nama Malaysia ke pentas dunia.
Bumi Perancis menjadi saksi tangisan, gelak tawa, titisan keringat para permata negara bertanding dalam merebut pingat emas, perak dan gangsa.
Antaranya sukan akuatik (terjun), renang, sukan pelayaran, menembak, menembak, berbasikal, angkat berat, badminton, golf dan olahraga.
Berikut merupakan senarai atlet Malaysia yang bertanding di Olimpik Paris 2024;
- Bertrand Rhodict Lises: Terjun (10 meter (m) papan anjal lelaki) – Debut
- Nur Dhabitah Sabri: Terjun (3 meter (m) papan anjal wanita)
- Khiew Hoe Yean: Renang ( 400 meter (m) Gaya Bebas Lelaki) – Debut
- Tan Ruoxin: Renang (100m Breaststroke Wanita) – Debut
- Nur Shazrin Mohamad Latif: Sukan Pelayaran (ILCA 6)
- Khairulnizam Mohd Afendy: Sukan Pelayaran (ILCA 7)
- Jonathan Wong: Menembak (10m Air Pistol)
- Ariana Nur Dania: Memanah (Individu Wanita dan Berpasukan Wanita) – Debut
- Syaqiera Mashayikh: Memanah (Berpasukan Wanita)
- Nurul Azreena Mohamad Fazil: Memanah (Berpasukan Wanita) – Debut
- Nur Aisyah Mohamad Zubir: Berbasikal (Jalan Raya) – Debut
- Dato’ Azizulhasni Awang: Berbasikal (Sprint dan Keirin)
- Muhammad Shah Firdaus Sahrom: Berbasikal (Sprint dan Keirin)
- Nurul Izzah Izzati Mohd Asri: Berbasikal (Sprint dan Keirin)
- Mohamad Aniq Kasdan: Angkat Berat (61 kilogram (kg) Lelaki) – Debut
- Aaron Chia dan Soh Wooi Yik: Beregu Lelaki Badminton
- Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan: Beregu Wanita Badminton – Debut
- Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei: Beregu Campuran Badminton — Debut
- Goh Jin Wei: Badminton Perseorangan Wanita – Debut
- Lee Zii Jia: Badminton Perseorangan Lelaki
- Gavin Kyle Green: Golf Lelaki
- Ashley Lau Jen Wen: Golf Wanita – Debut
- Azeem Fahmi: 100m Olahraga Lelaki
BACA: “Shah Firdaus Akan Teruskan Legasi Saya,” Azizulhasni Awang Umum Bersara
Sukan badminton ‘lubuk pingat’
Pada edisi kali ini, sukan badminton menjadi penyumbang pingat kepada negara apabila dua pingat gangsa berjaya diperolehi.
Kedua-duanya disumbangkan menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.
Berikut adalah pungutan pingat terkini sehingga jam 10 malam;
Klik di sini untuk lihat kedudukan terkini negara menerusi pungutan pingat Olimpik Paris 2024.
Momen menarik atlet negara
1. Kebangkitan Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang beregu nombor dua dunia dari Denmark-Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bangkit dari ketinggalan di set pertama untuk mengheret ke set penentuan.
Mereka berjaya menewaskan lawan dengan keputusan 16-21, 22-20 dan 21-19 untuk mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo 2020.
2. Zii Jia tutup mulut pengkritik

Sama seperti beregu lelaki negara, atlet badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi penyumbang pingat kedua negara menewaskan pemain dari India, Lakshya Sen.
Meskipun tewas pada set pertama dan ketinggalan pada awal set kedua, namun pemain nombor tujuh dunia itu membuktikan dia adalah wira negara selepas bangkit untuk meraih pingat gangsa.
Zii Jia menang dengan kutipan mata 13-21, 21-16, 21-11.
3. “Badang Malaysia” Aniq Kasdan

Siapa sangka bertubuh kecil, atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan berjaya meraih tempat keempat.
Hanya dibezakan satu kilogram (1kg) dengan pemenang pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 61 kilogram lelaki, Aniq membuktikan atlet sepertinya mampu mencabar atlet dari seluruh dunia.
Semoga Badang negara terus menampilkan prestasi terbaik bagi meraih pingat dalam kejohanan akan datang.
4. Pasangan Pearly Tan-M.Thinaah cipta sejarah negara

Semangat tidak menyerah kalah beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah berjaya membawa mereka menjadi beregu keempat terbaik kejohanan.
Meskipun tewas namun mereka mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara selepas mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 setelah membenam pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.
Pencapaian itu merupakan rekod terbaik beregu wanita negara sepanjang penyertaan temasya Olimpik.
Kegigihan kedua-dua atlet beberapa membuatkan jantung peminat hampir ‘gugur’ sehingga melangkah ke peringkat separuh akhir.
5. Shah Firdaus tetap juara di hati dan mata rakyat Malaysia

Meskipun secara realitinya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tersingkir dalam pusingan akhir Keirin akibat kemalangan, namun dia berjaya memenangi Gangsa di mata dan hati seluruh rakyat negara.
Shah Firdaus menjadi atlet negara terakhir yang berjuang pada hari akhir temasya Olimpik.
6. “Kami tak lupa momen Azizulhasni Awang empat tahun lalu” – netizen

“Orang cakap tiada rezeki”, itulah ungkapan yang mampu menggambarkan situasi yang berlaku kepada atlet sensasi negara yang juga sandaran emas Olimpik pertama negara.
Datuk Azizulhasni atau The Pocket Rocketman dilihat terkedu selepas difahamkan telah membuat “foul” semasa acara kegemarannya keirin.
Perkara itu membuatkan dirinya sedih namun rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannnya bukan sahaja di olimpik malah di acara lain kerana berjaya membawa nama Malaysia di pentas dunia.
Selepas olimpik pada kali ini melabuhkan tirai, Azizulhasni secara rasminya mengumumkan persaraannya dan legasinya akan diteruskan oleh rakan sepasukannya yang lain.
Meskipun begitu, The Pocket Rocketman masih tiada ganti.
7. Dhabitah tetap berjuang hingga ke detik akhir

Kem renang negara sekali lagi membuktikan mengapa sukan ini mempunyai potensi besar kepada atlet renang negara apabila Nur Dhabitah Sabri berjaya layak hingga pusingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita.
Senyuman yang terukir di raut wajahnya sudah cukup menjelaskan atlet berusia 25 tahun telah membuat yang terbaik untuk negara.
Dhabitah mencatatkan keseluruhan 244.80 mata untuk menduduki tempat ke-12 selepas lima terjunan di final.
Tahniah dan terima kasih kepada semua atlet Malaysia. Anda adalah wira negara. Jasamu sentiasa tersemat di hati peminat.
Usaha telah bermula untuk Sukan Olimpik 2028 di LA
Sebaik labuhnya tirai Sukan Olimpik Paris 2024, kini bermulalah usaha untuk mempersiapkan atlet untuk ke Sukan Olimpik LA 2024. Jawatankuasa Road to Goal percaya bahawa kontinjen berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mencapai ‘Emas’ pada temasya akan datang. Perkara ini kerana terdapat banyak peningkatan ketara oleh atlet pada temasya kali ini.
Antaranya yang mencuri tumpuan adalah Pearly Tan dan Thinaah yang mencipta sejarah pasukan beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir Sukan Olimpik. Begitu juga dengan penampilan sulung Aniq Kasdan yang hampir mendapat pingat gangsa, namun perbezaan 1kg sahaja meranapkan impian tersebut.
Persediaan juga telah bermula untuk kemasukan skuasy dalam LA2028 dengan mempersiapkan empat pemain yang telah dikenal pasti untuk program Fast Trach RTG.
Atlet kita telah memberikan yang terbaik dan telah menunjukkan kemajuan semasa permainan ini yang menunjukkan bahawa kontinjen akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mencapai matlamatnya pada LA2028.
Sumber: Gempak, Olimpik.com