Piala Sultan Selangor Raikan Perseteruan Selangor, Singapura di Liga Malaysia
Walaupun Piala Sultan Selangor telah selesai diadakan pada Sabtu lepas di stadium keramat, Stadium Merdeka, Cerita mengenai Piala Sultan Selangor masih hangat didendangkan.
Jadi, SK nak berkongsi serba sedikit mengenai sejarah Piala Sultan Selangor yang diasaskan oleh Sultan Selangor sekarang iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Piala Sultan Selangor mula diperkenalkan pada tahun 2001 dengan tujuan untuk menguatkan ikatan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia suatu ketika dulu iaitu Selangor FA dan Singapura FA.
Singapura sebelum itu menyertai Liga Malaysia sebelum menarik diri pada tahun 1994. Jadi, Piala Sultan Selangor menjadi satu acara untuk meraikan perseteruan kedua-dua pasukan ini.
Jika mahu diimbas kembali, perseteruan Selangor dan Singapura dalam kancah bola sepak Malaysia sungguh menakjubkan kerana kedua-dua pasukan ini paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada zaman tersebut.

Malah, media-media juga menggelar perlawanan antara Selangor dan Singapura dahulu sebagai Malayan El-Clasico.
Nama piala ini pada mulanya ialah Piala Pemangku Sultan Selangor sebelum ditukar pada 2003 kepada nama sekarang, Piala Sultan Selangor.
Sepanjang kejohanan ini dianjurkan sejak 2001, Selangor telah memenangi 11 kali manakala selebihnya dimenangi oleh pasukan Singapura.s
Sejak 2001, kejohanan ini hanya dianjurkan di Stadium Shah Alam dan Stadium Jalan Besar, Singapura sahaja.
Pada tahun ini, Piala Sultan Selangor melakar sejarah baharu apabila ia dianjurkan di Stadium Merdeka iaitu stadium keramat yang menjadi saksi Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Pasukan Pilihan Selangor menentang Pasukan Pilihan Singapura yang menyaksikan Pilihan Selangor menjulang kejuaraan ke-11 dalam sejarah penganjuran Piala Sultan Selangor.
Pilihan Selangor menang dengan keputusan 2-1. Walaupun bermain dalam padang yang becak, penganjuran kali ini tetap meria dan dibanjiri ribuan penyokong kedua-dua pasukan.