Cebisan Tulang, Serpihan Baju Ditemui Merungkai Kematian Operator Kilang
KUALA LANGAT — Kehilangan seorang operator kilang terungkai apabila serpihan baju, kasut, dan cebisan tulang, dipercayai milik mangsa yang terjatuh dalam mesin memproses sawit dekat sebuah kilang di Jenjarom ditemukan semalam, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, lebih kurang jam 9.15 malam Selasa, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada pengurus kilang itu.
“Pengurus berkenaan mendapati pekerjanya iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun tiada di kilang itu.
“Siasatan mendapati, mangsa yang merupakan operator kilang sebelum itu dipercayai keluar rehat kira-kira jam 1 petang dan masuk semula bekerja kira-kira jam 1.50 petang.
“Manakala rakan sekerja mangsa yang lain keluar rehat kira-kira jam 2 petang sebelum masuk semula kira-kira jam 2.30 petang,” jelasnya.
Tambah Ahmad Ridhwan, mangsa didapati tiada di lokasi itu oleh rakan sekerja sementara mesin memproses itu beroperasi tanpa operator bertugas.
“Rakan sekerja mangsa memaklumkan perkara itu kepada pengurus kilang sebelum mereka bersama-sama mencari mangsa di sekitar kawasan terbabit.
“Mereka kemudiannya menemui kasut, serpihan baju dan cebisan tulang manusia pada jam 5.57 petang di atas timbunan serat sawit pada bahagian hujung mesin berkenaan,” ujarnya lagi.
Ahmad Ridhwan berkata sewaktu mengendalikan mesin memproses tandan sawit berkenaan, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam.
“Siasatan turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berkaitan kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” maklumnya.
Operator kilang maut terjatuh dalam mesin pengisar
Terdahulu, SK melaporkan seorang operator kilang maut selepas terjatuh ke dalam sebuah mesin pengisar membuat mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang di Iskandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata mangsa, 19, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan bahu.
“Ketika kejadian kira-kira 11.30 pagi, mangsa sedang tunduk melakukan pembersihan pada mesin tersebut dan secara tiba-tiba mesin itu telah berputar menyebabkannya terjatuh lalu kepala dan bahunya terkena mesin.
“Seorang rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut bergegas mematikan suis mesin dan kemudian memanggil rakan sekerja lain untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sumber: Sinar Harian