Siakap Keli
mu cipta rekod
Gambar: AFP

MU Cipta Rekod, Dua Tahun Berturut-turut Tiada Pemain Dalam Senarai “PFA Team Of The Year”

MU Cipta Rekod, Dua Tahun Berturut-turut Tiada Pemain Dalam Senarai “PFA Team Of The Year”

Manchester United (MU) sekali lagi mencipta rekod baharu yang tidak diinginkan sepanjang penyertaan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ia selepas buat kali pertama tiada wakil daripada kelab itu tersenarai dalam senarai Pasukan Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) untuk dua tahun berturut-turut.

Walaupun rekod berkenaan tidak diinginkan, namun tidaklah begitu mengejutkan jika mengambil kira prestasi MU dalam liga musim lepas.

Kelab berkenaan menamatkan saingan panjang 38 perlawanan musim lepas di tangga kelapan, iaitu kedudukan tercorot dalam sejarah penyertaan EPL mereka.

Bukan itu sahaja, 14 kekalahan yang dicatatkan juga merupakan rekod kekalahan terbanyak dalam semusim liga untuk kelab tersebut.

Cipta rekod baharu yang tidak diinginkan oleh MU

Malah, musim lepas juga merupakan kali pertama MU menamatkan saingan liga dengan perbezaan jaringan yang negatif dalam tempoh 34 tahun.

Untuk rekod, The Red Devils merekodkan sebanyak 57 jaringan dan 58 bolos untuk liga musim 2023/24.

Menurut TalkSport, Cristiano Ronaldo menjadi pemain terakhir yang menyarung jersi kelab berkenaan yang tersenarai sebagai penerima anugerah tersebut menerusi aksi dalam musim 2021/22.

Manakala Bruno Fernandez dan Luke Shaw disenaraikan sebagai penerima anugerah untuk musim sebelumnya.

Sejak pengendali legenda mereka, Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraan, MU terus menunjukkan kemerosotan prestasi.

Senarai tahun ini didominasi City dan Arsenal

Namun secara individu, pemain-pemain mereka masih beraksi baik untuk musim-musim pasca-Ferguson dan beberapa kali tersenarai dalam senarai pasukan terbaik.

Ada tahun dimana memang tiada pemain MU tersenarai, namun ini adalah kali pertama tiada wakil kelab itu untuk dua tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, senarai pasukan terbaik musim lepas yang diumumkan semalam didominasi oleh pemain-pemain daripada Manchester City dan Arsenal.

City yang menjulang trofi EPL buat kali keempat berturut-turut mempunyai empat wakil manakala The Gunners yang tampil cemerlang sepanjang musim lepas gah dengan lima pemain.

Gambar: PFA

Manakala Liverpool dan Aston Villa masing-masing dengan seorang pemain yang tersenarai.

BACA: Hasil Siasatan Konsisten, Punca Kematian Nidza Afham Masih Diklasifikasi Mati Mengejut

Sumber: TalkSport

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.